Polis telah menahan seorang wanita susulan video tular melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu dalam keadaan berbahaya sambil membawa tiga penumpang kanak-kanak.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) dalam satu kenyataan berkata, unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman telah menjalankan risikan setelah mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut.
”Pada 28 Disember 2021, pasukan Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman yang terdiri daripada pegawai dan anggota telah menjalankan risikan dan berjaya mengesan pemilik kenderaan tersebut yang beralamat di Kajang, Selangor.
”Kemudian, pasukan ini telah menahan seorang wanita iaitu pemandu Perodua Alza dan hasil siasatan awal mengesahkan wanita ini yang memandu seperti di dalam video yang tular tersebut,” katanya.
Hasil siasatan pihak polis mendapati tiga orang kanak-kanak tersebut merupakan anak saudara kepada suspek yang tinggal di Klang.
”Kejadian berlaku semasa wanita tersebut memandu di Jalan Reko, Kajang pada 25 Disember 2021 yang lalu.
”Wanita itu ditahan dan dibawa ke Balai Trafik IPD Kajang untuk tindakan selanjutnya di mana siasatan dijalankan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu Penganiyaan, pengabaian ke atas kanak-kanak,” katanya.
Dalam masa yang sama, JSPT mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada netizen yang menyalurkan maklumat seperti ini supaya polis boleh mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang melanggar peraturan jalan raya.