Siakap Keli
Gambar: NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN/Utusan Malaysia

Sayu, Dua Beradik Temui Ajal Bersama, Terseret Lapan Meter

Dua beradik dilaporkan maut akibat terseret kira-kira lapan meter setelah motosikal mereka bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi di Kilometer 170 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Cheneh, semalam, memetik laporan Sinar Harian.

Mangsa, Mohd. Faizal Shaari, 29, dan abangnya, Termizi, 37, meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta beberapa anggota badan.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku semasa motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang dua beradik tersebut dalam perjalanan ke arah Jabor.

“Bagaimanapun, motosikal ditunggang mangsa tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Myvi itu. Impak pelanggaran menyebabkan motosikal mangsa terjatuh di hadapan Perodua Myvi dengan dua beradik berkenaan terseret kira-kira lapan meter manakala kereta pula terjunam di kawasan cerun berumput,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, Hanyan berkata, kedua-dua pemandu dan penumpang Perodua Myvi yang masing-masing berusia 19 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, mayat dua beradik tersebut dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi tindakan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Utusan Malaysia

Aireena Marizan

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.