Siakap Keli
Gambar: New York Post

18 Orang Dilapor Cedera, Jadi Mangsa Serangan Tupai Kelabu ‘Mengganas’ Selama 48 Jam

Seekor tupai kelabu dilaporkan bertindak ‘ganas’ selama 48 jam sehingga menyebabkan 18 orang mengalami kecederaan.

Memetik laporan New York Post, penduduk di bandar Buckley, Wales panik selepas tupai kelabu itu bertindak menyerang penduduk di kawasan itu termasuk warga emas, kanak-kanak dan haiwan peliharaan mereka.

Ramai individu dilaporkan mengalami luka di bahagian tangan selepas digigit dan dicakar oleh tupai tersebut.

Gambar: Jane Harry via New York Post

Tambah laporan, tupai itu digelar sebagai ‘Stripe’ iaitu satu watak jahat daripada filem popular, The Gremlins.

Susulan kejadian itu, ramai mangsa dikatakan terpaksa menerima suntikan tetanus, sebagai langkah berjaga-jaga selepas menjadi mangsa gigit.

Gambar: Corinne Reynolds via New York Post

Walau bagaimanapun, tupai itu berjaya ditangkap dengan menggunakan perangkap yang dipasang oleh Corrinne Reynolds iaitu salah seorang penduduk Buckley yang berusia 65 tahun.

Tupai itu kemudiannya diserahkan kepada Persatuan Diraja Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (RSPCA).

Reynolds dikatakan telah bertindak memasang perangkap tersebut selepas tangannya digigit oleh tupai itu.

Reynolds bimbang sekiranya haiwan tersebut bertindak menyerang warga emas dan dua orang cucu lelaki yang berada di rumah dia. Bagi melindungi mereka, Reynolds bertindak menjerat tupai kelabu itu.

Menurut laporan sekali lagi, Stripe (tupai) dikatakan hanya menyerang penduduk yang membawa beg kitar semula mereka ke tong sampah.

“Saya tahu orang ramai tak suka tupai kelabu itu, tapi pada saya tupai itu juga makhluk Tuhan.” tegas Reynolds.

Menurut Persatuan Kawalan Perosak British, tupai kelabu adalah spesies invasif yang diperkenalkan ke UK dari Amerika Utara pada tahun 1870-an.

Sumber: New York Post

Nadhirah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.