Siakap Keli
Gambar via JSPT

“Sakit Dapat, Susahkan Orang Lain Pula,” Tular Video Rider Melambung Dirempuh SUV, Ini Respon JSPT

“Sakit dapat, susahkan orang lain pula,” demikian respon Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran video tular kemalangan melibatkan sebuah kenderaan SUV jenis Honda CRV dengan sebuah motosikal P-Hailing.

Menurut JSPT, motosikal tersebut dikatakan telah melanggar lampu isyarat merah sebelum dirempuh SUV berkenaan dalam kejadian yang berlaku di persimpangan lampu isyarat.

“Kemalangan berpunca apabila penunggang motosikal yang datang dari arah Jalan Kim Chuan melanggar lampu isyarat merah menyebabkan pemandu SUV dari arah Pelabuhan Klang gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.

”Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki serta muka dan menerima rawatan di Hospital Pantai, Klang,” katanya di laman Facebook rasmi.

Dalam masa yang sama, JSPT berkata, mereka sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan lampu isyarat merah tetapi sikap tidak peduli pengguna kenderaan masih menebal untuk melanggar peraturan undang-undang lalu lintas.

”Walaupun berulang kali telah menasihatkan agar penunggang motosikal terutama ‘rider’ P-Hailing mematuhi arahan lampu isyarat, tetapi masih ada segelintir yang tidak faham bahasa.

”Sekarang sakit pun dapat dan menyusahkan orang lain yang tidak bersalah pula,” katanya.

Tambah JSPT, kes kini disiasat oleh Bahagian Trafik Ibupejabat Daerah (IPD) Klang Selatan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987.

Sumber: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM

Eyla Azri