Seri Iskandar, Perak- Cuti semester merupakan satu peluang buat pelajar universiti untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta dan bercuti di rumah. Walau bagaimanapun, makna cuti bagi sekumpulan sukarelawan aktif Youth of Strength and Happiness (YOSH) MyFundAction Perak berbeza kali ini. Mereka yang terdiri daripada pelbagai universiti iaitu Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Malaysia Terengganu, Kolej matrikulasi Perak dan Universiti Sultan Azlan Shah mengambil peluang untuk memanfaatkan cuti mereka dengan menabur bakti menyantuni penduduk banjir di 2 buah tempat sekitar Perak iaitu di Dewan Bandaran Teluk Intan dan kawasan sekitar Kuala Kangsar.
Sempena cuti semester ini, mereka sanggup mengorbankan cuti mereka demi menggembirakan mangsa banjir dengan menyalurkan sedikit bantuan berupa kotak Rezeki Ummat yang mengandungi barangan keperluan asas dapur dan Hygiene Kit yang mengandungi barang keperluan kesihatan seperti syampu, sabun, pelitup muka dan tuala mandi.
Gambar 1 Barisan sukarelawan di Kuala Kangsar
Gambar 2 Barisan sukarelawan di Teluk Intan
Gambar 3 Izzah Nur Aisyah sukarelawan YOSH dari UTP menyantuni mangsa banjir di Teluk Intan
Gambar 4 Ain fazwin menyerahkan set Hygiene Kit kepada mangsa banjir di Kuala Kangsar
“Daripada saya duduk di rumah sahaja atau pergi bersiar-siar ketika cuti ni, baik saya bantu mangsa banjir yang lebih memerlukan”- kata Nawwarah, sukarelawan YOSH dari Universiti Malaysia Terengganu.
Bukan itu sahaja, terdapat salah seorang sukarelawan YOSH yang tidak dapat pulang walaupun rumah keluarganya dilanda banjir. Namun begitu, itu tidak menjadi halangan bagi Ahmad Muadz, pengurus YOSH utara dari Universiti Teknologi PETRONAS untuk mengetuai misi banjir di Teluk Intan semalam.
Ahmad Muadz berkata, “Walaupun saya tidak dapat pulang membantu keluarga saya yang menjadi mangsa banjir di Pahang, tapi saya dapat merasai perasaan yang sama apabila mengetuai misi banjir di sini”.
Tambahan, terdapat sukarelawan secara maya yang menjadi ‘keyboard warrior’ untuk menjalankan misi crowd funding bagi membantu lebih ramai pihak bersama MyFundAction. Walaupun bencana ini telah menyebabkan kekecawaan bagi ramai pihak, ayuh bersama-sama kita berusaha sehabis baik untuk saling bantu membantu antara satu sama lain.
Disediakan oleh:
Maisarah Jedin,
Perhubungan Awam Media MyFundAction Perak