Pengarahnya, Jainal @ Zainal Madasin berkata kawasan berkenaan adalah di Gua Musang; Limau Kasturi (Gua Musang); Sungai Golok (Rantau Panjang); Machang; Tanah Merah; Jeli dan Pasir Mas.
Beliau berkata pihaknya telah menugaskan anggota pasukan untuk melakukan pemantauan di semua lokasi berkenaan termasuk kawasan berhampiran sungai yang kerap dinaiki air.
“Kita akan tugaskan anggota ke lokasi yang dikenal pasti untuk melakukan rondaan dan pemantauan terutama di kawasan berhampiran sungai, setiap hari.
“Dengan adanya anggota yang turun padang, sekurang-kurangnya kami dapat bersedia memberi maklumat awal kepada penduduk untuk berpindah ke pusat pemindahan sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Kampung Legeh di sini semalam yang turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Unit Udara JBPM Penolong Kanan Pesuruhjaya Nazili Mahmood dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Mohd Adni Ibrahim.
Terdahulu, beliau serta lebih 10 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jeli terpaksa mengharungi banjir hampir satu kilometer untuk memberikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa banjir di kawasan penempatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Jainal berkata pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi mendapat maklumat mengenai paras kenaikan air sungai di negeri ini.
“Kerjasama dengan JPS negeri menjadi kekuatan pihak kami untuk mengetahui paras kenaikan air sungai dan sebagainya. Selain usaha pihak kami turun padang untuk melakukan pemantauan, kerjasama ini juga banyak membantu terutamanya ketika musim banjir,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata masyarakat di negeri ini mempunyai kesedaran dan kepekaan untuk berpindah sekiranya perlu.
“Mengikut pemerhatian, mereka menjadikan pengalaman banjir bah kuning pada 2014 sebagai rujukan setiap kali tiba musim banjir. Ada dalam kalangan mereka berpindah selepas dirasakan tidak selamat dan ada juga segelintir mengambil keputusan untuk memantau terlebih dahulu keadaan paras air sebelum berpindah,” katanya.
Untuk rekod, JBPM Kelantan dianggotai seramai 1,245 pegawai dan anggota.
— BERNAMA