Beberapa minit lagi kita akan mula beranjak ke tahun baharu, tahun 2022. Berikutan itu, orang ramai dilaporkan mula membanjiri perkarangan Pavilion Kuala Lumpur bagi menyambut ambang tahun baharu.
Menerusi foto-foto yang dikongsikan oleh Bernama, orang ramai tidak kira bangsa berkumpul di situ dengan memakai pelitup muka.
Orang ramai mulai membanjiri pekarangan Pavilion Kuala Lumpur bagi menyambut ambang tahun baharu setakat jam 10.30 malam hari ini.
📸 Afifitri Muhammad / BERNAMA pic.twitter.com/s5wRwulhOO
— BERNAMA (@bernamadotcom) December 31, 2021
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas sebentar tadi mengajak rakyat Malaysia mencipta sinar baharu bagi membina negara bangsa yang lebih baik pada 2022.
Menurutnya, semua pihak harus membuat resolusi untuk meraikan persamaan dan mengetepikan perbezaan yang wujud bagi meneruskan agenda kemajuan negara.
“Dengan ketibaan tahun 2022 ini, maka bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2022 memberikan sinar baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam perutusan tahun baharu yang disiarkan stesen-stesen televisyen, malam ini.
Beliau sebelum itu turut menyertai lebih 500 jemaah di Masjid Putra di sini untuk bersolat hajat dan berzikir bagi mendoakan kesejahteraan negara sempena tahun baharu 2022, lapor Bernama.
Sumber: Bernama