Siakap Keli
Foto: FB

Air Pasang Besar, Limpahan Sungai Melaka Punca Banjir Di Kampung Morten

MELAKA, 2 Jan – Kejadian banjir di Kampung Morten di sini ketika ini berpunca daripada fenomena air laut pasang besar dan limpahan air Sungai Melaka berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abd Hakim Hamzah.

Beliau berkata walaupun hujan sebenarnya tidak terlalu lebat di Melaka apabila merekodkan sekitar 150 milimeter (mm) semalam, namun ia dilihat berterusan, dan pada masa sama menerima aliran air sungai yang agak banyak dari Tampin, Negeri Sembilan yang mengalir ke laut melalui negeri ini.

“Kemuncak air pasang besar berlaku di Melaka adalah pada pukul 8 pagi tadi dan bertembung dengan air dari Sungai Melaka menyebabkan limpahan air ke sekitar Kampung Morten.

“Ia menyebabkan kawasan pelancongan itu mengalami banjir dan ia akan surut pada sebelah petang walaupun mengambil sedikit masa kerana air pasang besar juga lambat surut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya Kampung Morten akan terus dilanda banjir sehingga Selasa ini memandangkan air laut pasang besar berlaku pada setiap hari, manakala amaran hujan lebat diteruskan sehingga tempoh berkenaan.

Abdul Hakim berkata ketika ini JPS Melaka telah membuka semua pintu air yang terdapat di negeri itu dalam usaha mengurangkan limpahan air sungai ke kawasan rendah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan peringkat jingga di Pahang membabitkan Jerantut, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, selain Negeri Sembilan, Melaka, Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi) dan Sabah (Sandakan, Telupid, Beluran dan Kudat).

Terdahulu, tular beberapa gambar dan video di laman sosial memaparkan mengenai kejadian banjir yang berlaku di Kampung Morten hari ini.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang