KUALA LUMPUR – Sembilan kes baharu positif Covid-19 telah direkodkan pada hari ini melibatkan mangsa banjir. Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan kes positif dalam kalangan mangsa berjumlah 460 kes.
Namun begitu, tiada kes baharu direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan menjadikan jumlah keseluruhan kes di PPS kekal hanya 15 kes sahaja.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kluster di PPS juga kekal satu kluster.
Tambahnya, sebanyak 63 kes lagi telah membabitkan penyakit berjangkit dikesan berlaku dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 2,038 kes.
“Sejumlah 42 kes dikesan menghidap jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 10 kes penyakit kulit manakala 11 kes lagi menghidap Acute Gastroenteritis (AGE),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Dr Noor Hisham menasihatkan agar kesemua mangsa banjir sentiasa memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat. Hal ini bertujuan untuk pihaknya mengambil tindakan sewajarnya semasa proses pemindahan dan penyelamatan dijalankan.
Selain itu, mereka turut diminta untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS.
“Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan juga perlu lebih berwaspada gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir dan melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian