Siakap Keli
Kredit: Malaysia Gazette

47 Individu Dikompaun RM1,000 Langgar SOP Dalam Pusat Hiburan, 39 Daripadanya Positif Dadah

KUALA LUMPUR – Oleh kerana mempedulikan prosedur operasi standard (SOP) di dalam sebuah pusat hiburan di sini tengah malam tadi, 47 individu telah menerima akibatnya apabila dikompaun RM1,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, majoriti daripada mereka bukan hanya mabuk sahaja tetapi juga telah menghisap dadah di kelab malam itu.

Tambahnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis hiburan yang beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

“Dalam pemeriksaan di premis hiburan tersebut, seramai 47 orang sedang leka berhibur tanpa pematuhan SOP penjarakan fizikal dan sebagainya. Seramai 44 orang daripadanya warganegara tempatan termasuk empat wanita manakala tiga lagi warga asing termasuk dua daripadanya wanita dan kesemuanya telah ditahan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun dan telah dilibatkan dalam ujian saringan awal air kencing.

Jelasnya, hasil ujian urin tersebut mendapati seramai 39 orang daripadanya didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Kesemua positif dadah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama dua hingga empat hari sehingga 5 Januari ini untuk membantu siasatan polis bagi melengkapkan kertas siasatan polis. Selain itu, kesemua 47 individu yang diperiksa dalam premis berkenaan telah dikeluarkan tindakan kompaun RM1,000 setiap orang berjumlah RM47,000 di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan 2 Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.” katanya.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga diri dan elakkan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah dan diharapkan orang ramai dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis,” tambahnya lagi.

 

Sumber: Malaysia Gazette

Akhmar Ikmal

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.