Bandar Switzerland, Geneva telah memperkenalkan kenaikan gaji minimum sebanyak 23 Siwss franc (RM104.21) sejam, bersamaan 3,772 Swiss franc (RM17, 228.49) sebulan untuk 41 jam seminggu bekerja, lapor CNBC.
Berdasarkan laporan, hampir dua pertiga daripada kanton Geneva telah mengundi untuk memihak kepada kenaikan gaji minimum tersebut. Selain itu, kadar kenaikan gaji yang dikenakan juga dilaporkan yang tertinggi di dunia.
Kenaikan gaji ini sebenarnya dipercayai telah ditolak oleh pengundi sebanyak dua kali pada tahun 2011 dan 2014 lalu.
Walau bagaimanapun, selepas wabak koronavirus yang melanda dunia, ia telah diterima apabila berlakunya masalah kemiskinan di Geneva dan menyebabkan beribu-ribu penduduk beratur untuk mendapatkan makanan.
Geneva dikenali sebagai salah satu bandar paling mahal di dunia dan menduduki tangga kesembilan dalam tinjauan kos sara hidup global firma perunding HR Mercer 2020.
Kata Presiden Groupement transfrontalier kepada Guardian, undian untuk meluluskan kenaikan gaji ini telah mewakili “tanda solidariti” penduduk Geneva yang lebih miskin.
“Covid telah menunjukkan bahawa sebahagian penduduk Switzerland tidak boleh tinggal di Geneva,” jelas beliau lagi.
Gaji minimum baharu yang ditawarkan di Geneva adalah tiga kali ganda lebih daripada di Amerika Syarikat, iaitu $7.25 (RM 33.11) sejam dan dua kali ganda lebih daripada di United Kingdom sebanyak £8.72 (RM 49.16) sejam.
Sumber : CNBC