BANGKOK – Menjelang Tahun Baru 2022, Pusat Pencegahan dan Pengurangan Kemalangan Jalan Raya melaporkan bahawa seramai 73 orang telah terbunuh dan 574 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di seluruh Thailand, lapor agensi berita Thai PBS World semalam.
Menurut laporan, kebanyakan kes tersebut berlaku semasa sambutan ambang Tahun Baru dan berpunca daripada memandu ketika mabuk.
Sebanyak 1,906 kemalangan jalan raya telah direkodkan yang mengakibatkan sejumlah 226 kematian, manakala 1,894 mangsa cedera. Jumlah itu direkodkan sejak bermulanya cuti Tahun Baru di Thailand pada 29 Disember lalu.
Sebanyak 35.15 peratus daripada keseluruhan kematian sepanjang tempoh tersebut adalah kes yang melibatkan pemanduan laju, diikuti pula dengan 32.06 peratus kes memandu di bawah pengaruh alkohol dan 16.47 peratus lagi adalah disebabkan jarak penglihatan yang terhad.
Motosikal menyumbang 86.62 peratus daripada keseluruhan kemalangan yang berlaku, diikuti trak pikap sebanyak 5.8 peratus dan kereta persendirian yang mencatatkan 3.71 peratus.
Sebanyak 19.51 peratus daripada keseluruhan kemalangan itu berlaku antara pukul 9 malam hingga waktu tengah malam (waktu tempatan), manakala 18.15 peratus dicatatkan antara pukul 6 petang hingga 9 malam dan 15.43 peratus pula antara pukul 3 pagi hingga 6 pagi.
Jumlah kemalangan tertinggi dalam tempoh empat hari tersebut direkodkan di Chiang Mai iaitu 74 kes manakala jumlah kecederaan tertinggi adalah sebanyak 70 orang. Namun begitu, angka kematian tertinggi bersamaan 14 orang telah dicatatkan di Bangkok.
Ketua pengarah Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana, Boontham Lertsukheekasem telah menyarankan agar pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu dan berhenti rehat sekiranya mengantuk, kerana ramai yang dijangka pulang ke Bangkok dan bandar-bandar lain selepas bercuti.
Polis Diraja Thailand melaporkan bahawa sepanjang tiga hari pertama cuti tersebut, pihaknya berjaya menahan seramai 198,158 orang kerana melanggar undang-undang jalan raya, termasuk 7,391 kes memandu dalam keadaan mabuk.
Menurut Timbalan ketua polis Thailand, Damrongsak Kittipraphat, kes memandu dalam keadaan mabuk pada tahun ini meningkat sebanyak 75 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Sumber: Kosmo!