Siakap Keli
Gambar: Bernama

TERKINI: Tan Cheng Hoe Lepas Jawatan Ketua Jurulatih Kebangsaan

Ketua Jurulatih Kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah memutuskan untuk meletak jawatannya sebagai ketua jurulatih Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), demikian kenyataan rasmi oleh badan itu sebentar tadi.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, tindakan itu dilakukan susulan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF di Singapura baru-baru ini.

Tambahnya, perbincangan terbuka antara Cheng Hoe dan pihak pengurusan telah mendapat kata sepakat untuk melepaskan ketua jurulatih berkenaan.

“Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada,” tulis kenyataan berkenaan.

Sebagai rekod, Tan Cheng Hoe telah berjaya membantu Malaysia meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2009, juara Piala Suzuki SFF 2010 serta naib juara dalam Piala Suzuki AFF 2018.

Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini.

Sumber: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Amira

Love yourself.