Lapan pelantar minyak di Telok A milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dikatakan berdepan risiko meletup jika dilanggar kapal pesisiran Indonesia, Winposh Rampart yang dilaporkan hanyut ke perairan Terengganu hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksmana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, kapal pesisir Winposh Rampart sepanjang 72 meter itu awalnya ditunda oleh kapal Limin Rosmina, dari Matak, Indonesia menuju Yang Pu, China.
Namun akibat cuaca buruk, tali tunda kapal berkenaan terputus di perairan Vietnam jam 3.15 petang semalam, kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu. Kapal Winposh Rampart seberat 2,588 tan itu dilaporkan telah memasuki perairan Malaysia hari ini.
“Berdasarkan analisis penilaian risiko, kapal itu berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A dan boleh mengakibatkan kawasan pelantar meletup. Ia boleh melibatkan kemalangan nyawa jika bantuan awal tidak diberikan untuk menanganinya,” jelas Mohd Zubil memetik laporan Utusan.
Tambahnya, pihak Maritim Malaysia bersama Petronas telah mengambil tindakan segera mengkoordinasi bantuan menunda kapal terbabit ke lokasi selamat.
Kapal Maritim (KM) Jujur bersama enam anggota PTK telah dihantar ke lokasi kapal Winposh Rampart. Sementara itu, pihak Petronas turut menghantar dua aset iaitu kapal Icon Lotus dan SK Pilot bagi memuluskan operasi.
Memetik laporan Utusan, kapal pesisiran itu kini berada pada jarak 16 hingga 35 batu nautika dari pelantar dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam. Setakat ini, pasukan Maritim dengan bantuan pihak Petronas masih berusaha menunda kapal Winposh Rampart ke tempat yang lebih selamat.
Sumber: Utusan