Siakap Keli
Gambar: Kompas.com

Dahsyatnya Cemburu, Lelaki Tergamak Bakar Isteri Tengah Solat Gara-gara ‘Termakan’ Tuduhan Jiran-jiran

Seorang lelaki di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia yang nekad membakar isterinya hidup-hidup gara-gara cemburu berjaya ditahan pihak polis.

Lelaki yang berusia 32 tahun itu telah ditahan ketika dia sedang bersembunyi di daerah Gelumbang, Kabupaten Muara Enim, Sumatera Selatan sekitar pukul 12 waktu tempatan.

Daripada hasil siasatan, lelaki itu telah bertindak membakar mangsa kerana bermotifkan cemburu.

Suspek mengakui bahawa dirinya tersinggung dengan kata-kata mangsa yang menyatakan mereka tidak pernah bahagia sepanjang menjalani kehidupan berumah tangga sebelum kejadian itu berlaku.

Kata-kata itu dilaporkan telah membuatkan suspek menyimpan dendam.

Jiran di rumah suspek juga sempat mendakwa bahawa mangsa pernah menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Khabar itu telah membuatkan suspek menjadi gelap mata sehingga akhirnya dia mengambil keputusan untuk membakar isterinya hidup-hidup ketika isterinya itu sedang bersolat di rumah.

“Saya syak dia menipu, ramai jiran berkata begitu. Jadi semalam bila dia kata dia telah membatalkan untuk ziarah kubur ibu bapanya, saya sangka dia hendak jumpa dengan lelaki lain,” kata suspek ketika di Balai Polis Seberang Ulu.

Dia kemudian keluar untuk membeli minyak petrol berhampiran rumahnya.

Mangsa yang pada ketika itu sedang bersolat, menjerit meminta tolong selepas dibakar hidup-hidup oleh suaminya sendiri.

Mujur, mangsa sempat menyelamatkan diri dengan mencampakkan dirinya ke dalam sungai berdekatan. Dia kemudiannya dibawa ke hospital bagi menerima rawatan akibat melecur pada bahagian tangan dan kakinya.

“Dia cakap, sepanjang hidup dengan saya dia tidak pernah berasa bahagia, ditambah dengan ramai jiran yang kata dia curang dengan saya, ianya mendorong saya untuk melakukan sedemikian,” katanya.

Ketua Polsek SU I Palembang Kompol A Firdaus mengesahkan kejadian itu bermotifkan cemburu kerana mangsa disyaki menjalani hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Mangsa dan suspek sebelum ini pernah bertengkar kerana cemburu. Kemudian mangsa telah disimbah dengan minyak petrol dan dibakar oleh suaminya sendiri ketika sedang solat,” kata Firdaus.

Atas tindakannya itu, suspek bakal berhadapan dengan hukuman penjara lebih dari lima tahun.

Sumber: Kompas.com

Aqmal Ezany

I write what is right