Siakap Keli

MyFundAction, LR Asia Rai Ambang Tahun Baharu 2022 Bersama Asnaf Menerusi Program Komuniti, Projek X

Cyberjaya, 3 Januari 2022 – Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) dan LR Asia berkolaborasi bagi meraikan 4 buah keluarga penerima manfaat untuk membeli belah di Malakat Mall di sini. 

Keluarga yang terdiri dari golongan B40 sekitar Lembah Klang itu dibawa khas ke sini untuk membelanjakan RM200 tajaan MyFundAction bagi setiap buah keluarga, tajaan baju sekolah jenama ‘Seragam’ dan baucer RM200 pulangan tunai daripada Malakat Mall bagi membeli barangan keperluan sekolah. 

“Kami amat mengalu-alukan kolaborasi seperti ini. Secara peribadi, saya melihat program ini amat bagus kerana kita lebih tahu apa sebenarnya keperluan bagi penerima manfaat daripada kita hanya memberi lambakan bantuan makanan sehingga berlaku pembaziran,” kata Encik Mohd Fadzil Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall.

Encik Fadzil Hashim semasa ditemu ramah ketika majlis pelancaran

Dari kiri Cik Liza Ramli, Pengurus LR Asia sebagai saksi pelancaran Program Komuniti Projek X yang dirasmikan oleh Encik Isma Fildza Hazry Ismail, Ketua Eksekutif Jabatan Perhubungan Awam MyFundAction bersama, Encik Mohd Fadzil Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall serta selebriti jemputan, Anas Tahir.

Tambahnya lagi, program ini dianjurkan bagi memberikan nafas bahammru kepada golongan sasar dalam memulakan lembaran tahun 2022 terutamanya bila berdepan dengan musim persekolahan nanti.

Zoey Bahar, Pengarah Program Projek X berkata, “Saya amat bersyukur apabila dapat melihat sendiri reaksi wajah suka dan sebak keluarga yang bertuah ini tatkala membeli barangan di Malakat Mall. 

“Bayangkan, mereka ini rupanya tidak pernah langsung masuk pusat membeli-belah sepanjang hidup dan berbelanja sebanyak ini”, ujar Zoey Bahar yang juga merupakan Pegawai Perhubungan Awam MyFundAction.

Zoey Bahar turut membantu salah seorang penerima manfaat Projek X, Puan Norimah yang keliru untuk memilih barangan kerana ini kali pertama beliau membeli barangan dapur di pusat membeli-belah. 

Selebriti, Aidil Maula (empat dari kiri) bersama 2 keluarga penerima manfaat Projek X.

Inisiatif ini menyasarkan dana kutipan sebanyak RM120,000 bagi penyediaan 1000 kotak Rezeki Ummat, iaitu produk makanan keperluan asas MyFundAction yang mengandungi beras, minyak, pek korban sedia dimakan, tepung, gula, kicap, sos dan lain-lain. 

MyFundAction turut menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada Malakat Mall dan LR Asia yang sudi ikut serta sepanjang pelaksanaan Projek X. 

Turut memeriahkan program ini, penampilan khas selebriti jemputan seperti Siti Nordiana, Aidil Maula dan Anas Tahir yang juga meluangkan masa turun padang. 

Majlis pelancarannya dirasmikan oleh Encik Isma Fildza Hazry Ismail, Ketua Eksekutif Jabatan Perhubungan Awam MyFundAction bersama, Encik Mohd Fadzil Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall dan disaksikan oleh Cik Liza Ramli, Pengurus LR Asia.

Siti Fatimah