Siakap Keli
Kredit : dentist.camera via Mohd Khairul Izwan

“Orang Akan Merasa Lebih Puas,” Doktor Kongsikan Jenis Berus Yang Sesuai Untuk Digunakan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Dalam bab memberus gigi, pasti ramai yang mempunyai pilihan tersendiri bagi jenis berus gigi. Ada yang gemar menggunakan berus yang lembut, medium ataupun keras. Namun begitu, adakah berus medium dan keras benar-benar berkesan membersihkan gigi dan mulut kita?

Jika mengikut saranan pakar, jenis yang sesuai adalah jenis extra lembut atau lembut. Lebih-lebih lagi orang yang mempunyai masalah sensitiviti gigi atau gusi.

Tetapi, kalau betullah jenis lembut yang paling bagus, kenapa berus gigi jenis medium atau keras masih lagi dijual di pasaran?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian daripada Dr. Mohd Khairul Izwan.

Masih ramai yang bertanya saya, jika benar berus gigi keras atau medium itu tidak bagus dan boleh merosakkan gigi, kenapa ia masih dijual di pasaran?

Baiklah, saya jawab secara umum di sini ya.

Begini, pengeluar atau pengilang berus gigi memasarkan berus gigi bukan mengikut saranan doktor gigi sebaliknya berdasarkan permintaan daripada pengguna.

Ini kerana kebanyakan orang akan merasa lebih puas jika dapat memberus gigi menggunakan berus yang keras dan dapat menyentalnya dengan kuat. Mereka beranggapan cara begitu akan menjadikan gigi mereka lebih bersih.

Sedangkan cara tersebut sebenarnya adalah salah dan banyak kajian telah membuktikan yang penggunaan berus gigi keras ataupun medium boleh memberikan kesan sampingan terhadap gigi dan gusi di mana gigi atau gusi akan mudah terhakis dan menimbulkan rasa ngilu.

Selagi ada yang menggunakan berus gigi keras ataupun medium, selagi itulah pengeluar atau pengilang akan terus menghasilkan dan menjual berus gigi tersebut.

Contoh mudah begini:

Kita tahu rokok membahayakan kesihatan dan punca kepada pelbagai penyakit, tetapi kenapa rokok masih juga dijual secara meluas?

Ini kerana masih ada permintaan yang tinggi daripada pengguna (perokok).

Jadi kalau anda tanya saya apa fungsi berus gigi jenis keras atau medium tu, jawapan saya ianya tidak sesuai untuk gigi anda tetapi ia boleh digunakan untuk menyental belakang kuali/periuk ataupun menyental lantai dan sinki di bilik air.

Kalau anda sayangkan gigi anda, gunakan berus gigi berbulu lembut atau ekstra lembut sahaja ya untuk menggosok gigi anda.
Semoga bermanfaat!

Sumber : Mohd Khairul Izwan

Fathin Nadzira

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.