Siakap Keli

Pelajar Berusia 23 Tahun Memenangi Kondo Baharu Bernilai Lebih Setengah Juta Ringgit

KUALA LUMPUR, 4 JANUARI 2022 – Memiliki sebuah rumah sememangnya merupakan satu impian buat Hafizah Abidin, 23, dari negeri Perlis. Seperti ramai graduan baharu yang lain, rancangannya untuk masa depan termasuk menyertai alam pekerjaan dan menabung untuk membeli rumah pertamanya.

Bagaimanapun, takdir telah menentukan bahawa impian bakal jurutera tersebut menjadi kenyataan untuknya apabila beliau menjadi pemilik unit kondominium mewah bernilai lebih daripada setengah juta Ringgit di SkyMeridien Residences yang telah memenangi pelbagai anugerah, yang terletak di lokasi strategik di tengah-tengah Kuala Lumpur. Graduan itu memenangi kondominium tersebut melalui permainan Tekan & Menang Kondo semasa Shopee 11.11 Jualan Hebat.

Hafizah, yang menerima kunci di SkyWorld Gallery di Sentul, berkata, “Memiliki sebuah rumah sememangnya adalah salah satu impian saya dan saya merancang untuk mencapainya setelah mendapat pekerjaan dan sudah menabung wang yang mencukupi untuk bayaran pendahuluan.

Namun, saya tidak sangka rumah pertama saya merupakan sebuah unit kondominium mewah di SkyMeridien Residences! Saya hanya mencuba nasib dengan mengumpul seberapa banyak tiket emas bagi mendapatkan peluang yang lebih baik untuk menang, tetapi saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana saya tahu bahawa terdapat berjuta-juta pengguna Shopee lain yang turut mengambil bahagian. Saya terkejut apabila hos Shopee Live mengumumkan nombor tiket saya sebagai Tiket Emas pemenang semasa sesi Shopee Live pada 16 November.”

Hafizah menambah bahawa ibu bapanya pada mulanya tidak mempercayai berita itu, malah memberi amaran kepadanya bahawa ia mungkin satu penipuan. Namun setelah mengesahkan bahawa berita baik tersebut diumumkan di Shopee Live, mereka turut berasa sangat gembira.

“Berita baik itu tersebar dengan cepat dalam kalangan ahli keluarga saya melalui WhatsApp dan adik-beradik saya pulang ke rumah ibu bapa saya dari Kuala Lumpur pada hujung minggu untuk mengadakan sambutan kecil,” kata Hafizah.

Anak ketiga daripada empat beradik, Hafizah berkelulusan ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan telah menamatkan pengajiannya pada bulan September 2021. Pada masa ini, Hafizah sedang meluangkan masa bersama ibu bapanya yang sudah bersara di rumah mereka yang terletak di Kampung Longboh, Perlis sementara menunggu majlis konvokesyennya pada bulan Mac tahun depan.

Lee Chee Seng, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di SkyWorld Development Group berkata, “Tahniah kami ucapkan kepada Hafizah yang telah memenangi Hadiah Utama! Kami percaya bahawa memenangi sebuah unit SkyMeridien Residences adalah hadiah terbaik bagi Hafizah dan kami berasa teruja beliau akan menjadi sebahagian daripada Komuniti SkyWorld kami. SkyMeridien Residences akan siap pada awal tahun depan dan ia tepat pada masanya memandangkan Hafizah akan memulakan perjalanan baharu yang menarik. Selamat maju jaya kami ucapkan buat Hafizah dan nikmati kondominium ini kerana beliau akan merasai pengalaman terbaik di  tempat tinggal baharu ini!”

Kenneth Soh, Pengurus Kanan (Pemasaran) di Shopee Malaysia berkata, “Tahniah kepada Hafizah kerana menjadi pemilik baharu unit kondominium di SkyMeridien Residences dan juga sebagai pemenang Hadiah Utama Shopee 11.11 Jualan Hebat. Kami amat teruja untuk membawakan perubahan positif dan memenuhi impian Hafizah untuk memiliki sebuah rumah. Kami juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Hafizah apabila beliau berpindah ke rumah kediaman baharu beliau dan membuka lembaran hidup baharu dengan memulakan kerjayanya.”

Selepas Hafizah berpindah ke tempat baharunya, beliau akan mula mencari pekerjaan. Dengan SkyMeridien Residences yang terletak di lokasi strategik di pusat bandar dan hanya 300 meter dari stesen LRT Sentul Timur, Hafizah berharap untuk mendapatkan pekerjaan di mana pejabatnya berdekatan dengan rumah kediamannya untuk memudahkan perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.

Siti Fatimah