KUALA LUMPUR – Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang digajikan majikan tempatan diberkas hasil pemeriksaan terhadap 60 warga asing.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang itu dilakukan pihaknya berikutan tamatnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember yang lalu.
“Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat yang kebanyakan menggajikan warga asing sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan jurujual.
“Semasa serbuan dilakukan, warga asing ini cuba bertindak pantas dengan menukar pakaian seragam yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelakkan diri daripada ditahan pihak berkuasa, tetapi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pendatang asing tanpa izin tersebut dikesan melakukan kesalahan. Antaranya menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa dan tiada dokumen pengenalan diri.
Sementara itu, seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa warga asing supaya mengambil kesempatan sertai Program Rekalibrasi Pulang PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
Sumber: Sinar Harian