Nilai bersih kekayaan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk dilaporkan telah melonjak kepada $304 bilion (RM1.2 trilion) pada Selasa selepas saham syarikatnya meningkat lebih daripada 13 peratus dalam dagangan pada Isnin berikutan rekod penghantaran kenderaan yang baik.
Memetik laporan New York Post, kekayaannya itu meningkat lebih daripada $30 bilion (RM126 bilion) daripada sebelumnya. Beliau juga menjadi manusia pertama yang memiliki harta melebihi USD 300 bilion.
Tesla dipercayai telah menghantar 308,600 kenderaan pada suku fiskal keempatnya dan dengan mudah melepasi unjuran penganalisis.
Bagi tahun fiskal 2021, penghantaran kereta elektrik itu melonjak 87 peratus kepada 936,172 kereta. Kedua-dua jumlah suku tahunan dan tahun penuh telah memperlihatkan mereka mencatatkan rekod baharu.
Penilaian pasaran Tesla pula mencecah kira-kira $1.2 trilion berikutan rali saham terbarunya.
Bagaimanapun, Musk juga telah menjual lebih daripada $16 bilion saham Tesla dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk menampung kewajiban cukai.
Musk kini menjadi individu paling kaya di dunia, diikuti oleh Ketua Pegawai Eksekutif firma fesyen Perancis LVMH yang menduduki tempat kedua dalam senarai Forbes. Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos pula berada di tempat ketiga.
Sumber: New York Post