Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berniat menjatuhkan atau mempersoal profesionalisme perubatan, ujar badan itu dalam satu kenyataan sebentar tadi, merujuk kepada video pengumuman perkhidmatan awam (PSA) dimuatnaik badan itu pada 4 Januari lalu.
Justeru, demi menjaga sensitiviti dan keharmonian pelbagai pihak, badan itu memutuskan untuk menurunkan video bertajuk ‘MC Boleh Menjadi Rasuah’ berkenaan.
“Suruhanjaya ini tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoal profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan,” demikian kenyataan itu.
Sebaliknya jelas SPRM, video itu dibuat merujuk kepada kes sebenar yang dilaporkan kepada mereka.
“Dalam konteks video ini, ia merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit palsu (MC) dan contoh ini berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM, menerusi aduan yang diterima daripada pihak majikan dan orang awam kepada suruhanjaya ini.”
Dalam video tersebut, ada adegan memaparkan lakonan seorang doktor seolah-olah menjual surat cuti sakit kepada seorang individu, sekaligus mendapat pelbagai respon dari masyarakat termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
RESPONS SPRM BERHUBUNG ISU PSA ‘MC BOLEH MENJADI RASUAH' pic.twitter.com/j7MNT6guXh
— SPRM (@SPRMMalaysia) January 6, 2022
Sumber: SPRM