Siakap Keli
Gambar via Google & Twitter

Kisah Anak Kecil Keracunan Sampai Cengkung, Lepas Makan Ayam Tak Cukup Masak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setiap daripada kita mempunyai selera berbeza-beza dalam pemilihan makanan. Begitu juga dengan kaedah masakan, lain orang lain citarasanya.

Ada sebilangan daripada kita suka makanan daging separuh masak atau tak dimasak sempurna. Namun ada juga yang lebih gemar sesuatu juadah berdaging itu dimasak sepenuhnya.

Untuk golongan dewasa, mungkin perkara ini tak begitu dipermasalahkan. Tapi lain pula situasinya dengan anak-anak kecil.

Makanan atau lauk yang tak dimasak sepenuhnya boleh jadi merbahaya kepada kanak-kanak. Malah dikatakan ada kes keracunan makanan teruk akibat makanan berdaging tak cukup masak ini berlaku kepada kanak-kanak hingga mengakibatkan kematian.

Oleh itu, Dr Ahmad Luqman Bukhari melalui akaun Twitter miliknya berkongsi cerita tentang seorang kanak-kanak yang mengalami keracunan makanan yang teruk selepas makan ayam tak cukup masak. Ikuti perkongsian Dr Ahmad Luqman di bawah ini.

Langsung tak bermaya, dua belah mata cengkung

“Cuba puan ingat balik betul-betul, ada tak belikan apa-apa makanan dari luar, delivery ke, beri pada dia sehari dua ni?”

“Tak adalah doktor. Sepanjang kena duduk rumah ni semua makanan masak sendiri. Pelik saya tiba-tiba dia jadi begini.”

Sayu suara si ibu menjawab seraya menoleh ke arah anaknya yang sedang terbaring di atas katil.

Remuk hati melihat betapa lemahnya keadaan badan si kecil tu. Langsung tak bermaya. Kedua belah mata pun mencengkung. Dehydrated teruk!

Mana tak nya, sejak pagi tadi dah berbelas kali muntah dan cirit birit. Sampai je kat hospital, jarum branula terpaksa dimasukkan ke saluran darah di kedua-dua belah lengan untuk proses rawatan kecemasan.

“Sebenarnya doktor, malam semalam saya ada suapkan nasi ayam yang saya bawak balik dari tempat kerja.

Silap saya. Mula-mula lagi saya perasan ada kesan darah pada bahagian sendi tulang ayam tu. Daging pun agak kemerahan, macam tak cukup masak.

Gambar: Dr Ahmad Luqman Bukhari

Tapi dia beria mintak nak rasa, tak sampai hati saya nak tolak. Itu yang berikan jugak sikit.”

Si ayah tiba-tiba bersuara. Jelas ternampak raut kesal di wajahnya.

Pernah ada kes libatkan kematian

Selalu sangat kes kanak-kanak keracunan makanan ni berlaku. Sebahagiannya berpunca dari ayam yang tak dimasak sempurna. Memang patut pun sebab darah yang masih ada pada ayam tu jadi medium yang sesuai untuk kuman membiak.

Kalau yang termakan tu kita yang ada imuniti kuat mungkin setakat dapat perut cramp, muntah dan cirit birit. Boleh jadi kesannya tak berapa serius.

Tapi sangat bahaya untuk anak kecil.

Paling kita takut bila kuman tadi masuk ke dalam salur darah anak dan merebak ke seluruh tubuh (bacteremia). Pernah tau berlaku kes keracunan teruk sampai akibatkan kematian!

Sebab tu mak ayah kena tolong periksa betul-betul setiap makanan masa nak beri pada anak.

Jangan bagi kalau ada tanda-tanda ayam tak cukup masak seperti:

  • Berbau hanyir
  • Berlendir
  • Tekstur daging berbeza dari biasa
  • Suhu di bahagian daging lebih sejuk
  • Ada kesan darah terutama dekat tulang ayam
  • Daging berwarna kemerahan

Bantu saya sebarkan info ni pada mak ayah yang lain ya. Risau jugak, lagipun tak lama lagi dah nak mula puasa. Takut-takut nanti bila dah tak larat nak masak sendiri, kita terbeli makanan yang buatkan anak kesayangan keracunan dan jatuh sakit.

Sumber: Dr Ahmad Luqman Bukhari

" "