Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Minat Nak Jual Beli Saham? Ini Apa Yang Korang Kena Tahu Tentang Akaun CDS, Syarat-syarat & Cara Nak Buka Akaun

Sejak beberapa dekad yang lalu, pasaran saham sudah tidak lagi ‘ditakluk’ oleh syarikat gergasi atau organisasi semata-mata kerana individu perseorangan juga sudah boleh membeli saham dan melakukan pelaburan.

Di Malaysia, Bursa Saham Malaysia bertanggungjawab menjadi syarikat pemegang urus niaga yang mengendalikan urusan jual beli saham. Ia juga merupakan salah satu daripada bursa terbesar di Asean.

Secara keseluruhannya, Bursa Saham Malaysia mengendali dan mengawal selia bursa saham termasuk penyenaraian, perdagangan, penjelasan, penyelesaian dan depositori.

Bagi anda yang berhasrat untuk melakukan jual beli saham dalam sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia, anda perlulah membuka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) terlebih dahulu.

Apa itu CDS?

Untuk pengetahuan anda, CDS bertindak sebagai kaedah untuk mewakili pemilikan dan pergerakan sekuriti.

Pemegang akaun CDS ini boleh menikmati pelbagai kemudahan seperti memperoleh pemindahan sekuriti dan penyelesaian dagangan secara elektronik.

Anda perlu membuka akaun CDS dengan Agen Depositori Sah (ADAs), contohnya syarikat broker saham. Sekuriti yang dibeli pula akan dikreditkan ke dalam akaun CDS yang telah dibuka oleh pelabur.

Siapa yang layak buka akaun CDS?

Sesiapa saja layak untuk membuka akaun CDS ini asalkan anda menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Bursa Malaysia seperti di bawah ini:

  1. Seorang individu yang telah mencapai umur 18 tahun pada tarikh permohonan.
  2. Sebuah perbadanan dalam konteks Seksyen 4 Akta Syarikat 1965
  3. Mana-mana badan korporat yang diperbadankan dalam Malaysia dan secara notis, diterbitkan melalui Warta, diisytiharkan sebagai pihak berkuasa awam atau instrumen atau agensi bagi kerajaan Malaysia atau oleh mana-mana negeri Malaysia.
  4. Sebuah persatuan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkait dengan persatuan koperasi.
  5. Sebuah amanah atau perbadanan amanah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.
  6. Mana-mana pertubuhan yang didaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.
  7. Badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen.

Cara buka akaun CDS

Pelabur individu

  1. Lengkapkan borang Pembukaan Akaun dan dua Kad Tandatangan Spesimen.
  2. Bagi rakyat Malaysia, anda perlu hantarkan dokumen bersama-sama dua salinan Kad Pengenalan anda yang telah disahkan. Manakala, bagi warga asing pula anda perlu membayar yuran Pembukaan Akaun dan menghantar dua salinan passport anda yang telah disahkan.

Pelabur korporat

  1. Lengkapkan borang Pembukaan Akaun dan dua Kad Tandangan Spesimen.
  2. Anda perlu menghantar dokumen di atas dengan dua salinan semua dokumen sokongan yang diperlukan seperti Sijil Pengkorportan, Resolusi Lembaga Pengarah dan sebagainya bersama-sama dengan yuran Pembukaan Akaun.

Apabila kesemua borang dan dokumen telah dihantar, ADA akan membuka akaun CDS anda dan memberikan nombor akaun CDS.

Notis pengesahan pembukaan akaun akan dihantar oleh Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd melalui pos.

Sebelum membuka akaun, anda perlu tahu bahawa seorang pelabur individu dibenarkan membuka satu sahaja akaun CDS dengan setiap ADA.

Bagaimanapun, pelabur korporat boleh membuka pelbagai akaun dengan ADA yang sama.

Jika anda sendiri tidak dapat hadir untuk membuka akaun, anda boleh mewakilkan seseorang yang boleh menjadi saksi atau mengesahkan dokumen sokongan iaitu wakil penjaga, pegawai yang sah bagi ADA, pegawai yang sah bagi Peniaga Dikecuali, Pegawai yang sah bagi Kedutaan Malaysia/ Konsulat Suruhanjaya Tinggi, Notari Awam, dan pihak lain yang diluluskan oleh Bursa Malaysia Depository.

Ands boleh mendapatkan borang akaun CDS di laman web Bursa Malaysia.

Penutupan akaun CDS

Menurut Bursa Malaysia, suatu akaun hanyalah boleh ditutup jika tiada transaksi atau baki di dalam akaun. Anda boleh melengkapkan dan menghantar borang permohonan bagi Penutupan Akaun atau menulis surat kepada ADa dan menyatakan permohonan anda untuk menutup akaun CDS.

Sumber: Bursa Malaysia (1) (2)

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.