Mesti ramai antara anda yang tak tahu bila kali terakhir anda berjumpa doktor gigi. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah habis sekolah, mesti lagi jarang pergi jumpa doktor gigi.
Selain pemeriksaan gigi, sebenarnya proses scaling juga merupakan perkara penting untuk anda lakukan. Proses scaling ini penting bagi membersihkan dan menghilangkan plak dan karang pada gigi.
Tetapi, pernah tak anda terfikir sebab mengapa kita panggil proses ini sebagai scaling gigi?
Untuk ketahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian daripada Dr. Mohd Khairul Izwan.
Kebanyakan orang mungkin dah tahu yang karang gigi perlu dicuci secara berkala di klinik gigi pada setiap tahun.
Dalam istilah pergigian, rawatan mencuci karang gigi ini disebut sebagai “Scaling”.
Nak tahu tak bagaimana rawatan scaling ini mendapat namanya dan apa kaitannya dengan karang gigi di dalam mulut kita?
Sebenarnya istilah scaling ini diambil daripada perkataan “Scale” dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud sisik haiwan.
Jadi “scaling” bila diterjemahkan secara terus membawa maksud proses untuk membuang atau menanggalkan sisik daripada badan haiwan seperti ikan atau reptilia lain dengan menggunakan suatu alat khusus yang berfungsi secara mekanikal.
Disebabkan prosedur membuang karang gigi ini membawa makna yang lebih kurang sama seperti proses membuang sisik ikan, maka terma scaling tersebut digunakan dalam bahasa pergigian.
Dalam Bahasa Melayu pula, rawatan scaling ini kita terjemahkan sebagai “Penskaleran Gigi”.
Perlu anda ketahui bahawa rawatan scaling tidak mengikis permukaan gigi anda, sebaliknya karang gigi ditanggalkan dengan menggunakan kuasa getaran oleh alat khusus iaitu ultrasonic scaler tanpa menipiskan permukaan gigi anda.
Jadi selepas ini kalau anda ke klinik gigi dan nak minta doktor gigi cucikan karang gigi anda, bolehlah gunakan ayat begini ya:
“Doktor, saya nak scaling gigi”.
Atau,
“Doktor, saya nak buat rawatan penskaleran gigi”.
Sumber: Dr. Mohd Khairul Izwan