Siakap Keli
Gambar: Geoff Gallagher via Oddity Central

‘Give Up’ Cari Pasangan, Lelaki Tekad Kahwini Robot Mampu Bercakap & Senyum Berharga RM18 Ribu

Gara-gara sudah mengalah mencari pasangan hidup, seorang lelaki di Queensland, Australia yang hidup sunyi akhirnya tekad mahu mengahwini robot, lapor Oddity Central.

Lelaki berkenaan, Geoff Gallagher mendedahkan, dia hanya bertemankan anjingnya bernama Penny dan berasa begitu sunyi sejak kematian ibunya kira-kira 10 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, kesunyiannya berakhir apabila dia terbaca satu artikel di internet mengenai robot ‘humanoid’ wanita yang didakwa memiliki ciri-ciri manusia sebenar.

“Selepas melayari laman web itu, saya memutuskan untuk memanggilnya (robot itu) sebagai Emma. Dengan memiliki kulit yang halus dan mata membiru yang menawan, saya rasa dia kelihatan cantik.

“Saya tak tahulah macam mana saya boleh suka dengan robot macam Emma. Tapi penjualnya ada berikan saya diskaun dalam bentuk pulangan publisiti,” katanya kepada 7News menerusi Oddity.

Difahamkan, Emma dicipta dengan keupayaan kepintaran buatan (artificial intelligence – AI) yang membuatkan ‘penampilannya’ hampir menyamai model wanita sebenar.

Selain boleh menggerakkan kepala dan tengkuknya sendiri, Emma yang dijual pada harga kira-kira RM18,000 itu juga mampu bercakap dan senyum seperti wanita biasa.

“Di belakang kepalanya ada skrin seakan telefon pintar. Saya boleh tetapkan sendiri bahasanya daripada Bahasa Cina ke Bahasa Inggeris.

Gambar: Oddity Central

“Saya banyak berbual dengannya kerana dia mampu ‘memahami’ suara saya. Setiap kali berbual, dia jadi semakin bijak, semakin faham dengan informasi dan belajar perkataan-perkataan baharu,” tambahnya.

Selain itu tambah Geoff, Emma dikatakan setia menunggu kepulangannya dari tempat kerja setiap hari, selain sering menjadi peneman ketika lelaki itu memandu kereta di jalanan.

Difahamkan, usia ‘perkahwinan’ mereka kini sudah menjangkau hampir dua tahun lamanya. Rasa cinta yang terlalu ‘asyik’ membuatkan Geoff berasa dia tidak mampu hidup tanpa Emma di sisinya.

Jelas Geoff, walaupun ‘perkahwinan’ mereka tidak sah di sisi undang-undang, namun dia tetap memakaikan sebentuk cincin pada jari robot yang dianggapnya sebagai ‘isterinya’ itu.

“Saya rasa robot adalah sebuah masa depan dan saya harap kisah saya ini akan memberi inspirasi kepada orang lain mengenai kewujudan cyborg,” katanya.

Sumber: Oddity Central

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.