Siakap Keli
Gambar: Hello Doktor

Kulit Kering Dan Mengelupas? Ramai Tak Tahu, Puncanya Mungkin Aircond Di Rumah Anda

Semua orang mesti seronokkan dapat kerja atau berehat di bawah udara sejuk penyaman udara. Sesuai dengan cuaca negara kita yang selalu panas ini memang ramailah orang yang suka duduk dalam kesejukkan penyaman udara.

Tapi, tahukah anda jika suhu penyaman udara anda rendah boleh membuatkan kulit kering dan mengelupas?

Hal ini kerana, penyaman udara boleh menyerap kelembapan dari udara di sekeliling kita dan menyebabkan kulit kita menjadi kering.

Jika anda mahu mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana penyaman udara mempengaruhi kulit kita, boleh lihat perkongsian dari laman Hello Doktor ini.

Udara sejuk membuatkan kulit kering dan mengelupas

Pendingin hawa bukan sahaja membekalkan kita dengan udara yang sejuk dan selesa.

Ia juga bertindak menapis segala kekotoran seperti debu dan asap yang terampai di sekeliling kita.

Walau bagaimanapun, penggunaan pendingin hawa boleh menurunkan kelembapan udara. Lama-kelamaan, kelembapan yang rendah ini akan membuatkan kulit wajah kita menjadi kering.

Kajian menunjukkan, kulit yang kering nampak tidak bermaya, kurang fleksibel dan tidak dapat memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dengan efektif.

Dalam masa yang sama, udara yang kering juga membuatkan mata kita mudah gatal dan merah-merah.

Selain kulit yang kering, penggunaan aircond juga boleh menyebabkan:

1. Wajah hilang kelembapan semula jadi

Kredit: Hello Doktor

 

Kulit wajah kita menghasilkan sejenis minyak yang baik untuk kesihatan kulit serta mengekalkan keanjalannya.

Namun, penggunaan pendingin hawa yang membuatkan suhu sekeliling menjadi rendah akan menyebabkan penghasilan minyak ini terbantut.

Akibatnya, kulit wajah menjadi kering dan tidak bermaya. Pengurangan dalam penghasilan minyak ini juga akan menyebabkan kulit menjadi tidak sihat dan mengalami dehidrasi.

2. Kulit kering dan mengelupas serta nampak lebih tua

Kelembapan merupakan rakan baik kulit kita. Tanpanya, kulit kita tidak dapat mengekalkan keanjalannya.

Namun, selepas beberapa jam di bawah hembusan pendingin hawa, kulit kita akan jadi kering. Semua kelembapannya akan turut hilang.

Kondisi ini akan jadi lebih teruk jika kita tidak minum air dengan mencukupi.

Kekurangan air akan menyebabkan kulit kering dan mengelupas. Dalam masa yang sama, wajah kita juga lebih berisiko untuk berkedut.

3. Boleh merosakkan kulit

Masalah kulit kering dan mengelupas boleh menyebabkan dermatitis.

Malah, untuk individu yang sudah mempunyai penyakit seperti rosacea, psoriasis atau ekzema, penggunaan aircond boleh membuatkan keadaan kulit menjadi semakin teruk.

Selain itu, perubahan suhu yang ekstrem juga boleh membuatkan kulit kering dan mengelupas.

Tambah lagi dengan keadaan negara kita yang panas, perubahan suhu ini merupakan sesuatu yang biasa.

Walau bagaimanapun, suhu yang berubah secara tiba-tiba boleh mendatangkan stres pada kawasan kulit.

Malah, ia juga akan membuatkan kulit wajah kita sukar untuk memperbaiki sel kulitnya sendiri. Jika keadaan ini berlarutan, kulit kita mungkin akan menjadi lesu dan tidak bermaya.

Ketidakupayaan kulit untuk memperbaiki selnya sendiri juga akan mendatangkan pelbagai masalah pada masa hadapan.

Produk wajib untuk melindungi kulit kering dan mengelupas

Kredit: Hello Doktor

 

Untuk melindungi kulit wajah daripada sejuk aircond, ada beberapa produk yang mungkin dapat membantu. Sebagai contoh:

  1. Gunakan facial mist. Penyembur ini amat berguna jika anda suka memakai make up ke tempat kerja. Ia boleh mengekalkan kelembapan kulit, namun dalam masa yang sama, penggunaan mist tidak akan merosakkan make up!
  2. Pakai krim tangan. Kadangkala, kulit tangan kita juga boleh mengecut dan mengering disebabkan suhu yang rendah. Jadi, gunakan krim tangan sebagai pelembap.
  3. Atasi mata kering dengan eye drop. Jangan sesekali gosok mata dengan tangan. Jika mata terasa kering, gunakan sahaja eye drop untuk kelegaan sementara.
  4. Pakai pelindung matahari. Sunscreen bukan sahaja dapat melindungi wajah kita daripada sinaran matahari. Ia juga dapat menambah satu lagi lapisan kelembapan pada kulit muka kita.

Lindungi kulit anda daripada sejuk pendingin hawa

Kredit: Hello Doktor

Sebenarnya, anda tidak perlu tutup pendingin hawa atau duduk di bawah kipas untuk mendapatkan kulit yang cantik.

Dengan penjagaan yang betul, kulit akan kekal sihat walaupun setelah berjam-jam di bawah pendingin hawa. Malah, masalah kulit mengering dan mengelupas juga dapat diatasi.

Sebagai panduan, pastikan anda:

  1. Minum air yang mencukupi. Pastikan anda minum lebih daripada 8 gelas air setiap hari.
  2. Pakai moisturizer untuk mengekalkan kelembapan kulit.
  3. Rehat sebentar daripada kesejukan pendingin hawa. Keluar dan dapatkan udara segar atau tutup aircond untuk beberapa jam.
  4. Gunakan penapis udara atau humidifier untuk meningkatkan kualiti udara. Dalam masa yang sama, alat ini juga dapat membantu mengekalkan udara di rumah atau tempat kerja daripada menjadi terlalu kering.
  5. Jangan gunakan sabun yang kasar pada permukaan kulit. Sabun ini akan membuatkan kulit mengering dan mengelupas.
  6. Jangan lupa tukar penapis pendingin hawa setiap 4-6 minggu.

Bekerja di bawah hembusan pendingin hawa memang seronok. Namun, jangan lupa, kulit kita juga perlu bernafas sekali-sekala!

Jangan biarkan kulit mengering dan mengelupas. Ikuti tip kami di atas untuk pastikan kulit sentiasa lembap dan cantik. Jika bukan kita yang menjaga kulit sendiri, siapa lagi?

Sumber: Hello Doktor

Zahirah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.