Siakap Keli

Boleh Didenda Sehingga RM100,000? Ini Info Yang Para Pengusaha Dobi Kena Ambil Tahu

Para pengusaha dobi di seluruh Malaysia yang menggunakan sistem gas berpaip untuk mesin pengering dan pemanas air perlu mendapatkan kelulusan dan lesen gas yang sah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

Kebanyakan premis-premis dobi akan memilih sumber tenaga gas berbanding elektrik kerana kos yang lebih murah. Namun, aspek keselamatan ketika orang awam menggunakan premis dobi perlu diberi perhatian.

Berdasarkan statistik ST, sebanyak 49 kes kemalangan dilaporkan sejak 2002 yang melibatkan 41 mangsa termasuk 6 kematian. Kemalangan yang terbaharu dilaporkan pada bulan Mei 2021, di Taiping, Perak di mana seorang mangsa telah mengalami kecederaan apabila satu letupan gas telah berlaku di premis dobi yang mangsa kunjungi.

Disebabkan itulah, masyarakat perlu sedar tentang pentingnya aspek keselamatan menggunakan sistem gas berpaip ini.

Menerusi perkongsian oleh ST, ada beberapa aspek keselamatan sistem gas berpaip yang pengusaha-pengusaha premis dobi serta orang ramai perlu tahu.

Aspek-aspek keselamatan yang perlu dilakukan oleh pengusaha dobi:

  • Melantik kontraktor gas yang berdaftar dengan ST sekiranya membuat pemasangan gas berpaip.
  • Lantik kontraktor gas yang berdaftar/orang kompeten gas yang berdaftar dengan ST untuk membuat pemeriksaan atau pembaikan (jika perlu) sistem pepasangan gas berpaip setiap 2 tahun sekali.
  • Pastikan perkakas/gegasan/kelengkapan gas mempunyai perakuan kelulusan yang dikeluarkan oleh ST.
  • Melayari laman web ST di st.gov.my untuk carian senarai kontraktor gas berdaftar, orang kompeten gas berdaftar di bawah kawasan negeri masing-masing dan senarai perkakas, gegasan dan kelengkapan gas yang diluluskan.
  • Para pengusaha premis dobi yang masih tiada kelulusan dan lesen gas dari ST, hendaklah memohon atau mendapatkan kelulusan dan lesen gas dari pihak ST demi keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan dobi.

Jika korang para pengusaha dobi gagal dan ingkar untuk mendapatkan kelulusan dan lesen gas, korang dikira melanggar Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997.

Kegagalan mematuhi Subseksyen 11(1) Akta Bekalan Gas 1993 boleh menyebabkan korang disabitkan kesalahan didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Bukan itu sahaja, mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi undang-undang juga boleh didenda sehingga RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Aspek-aspek keselamatan yang boleh dilakukan orang awam ketika menggunakan perkhidmatan dobi:

  • Memastikan dobi mempunyai kelulusan ST (ATO dan Lesen ST).
  • Segera keluar dari premis jika terhidu bau gas dan hubungi no telefon kecemasan yang tertera atau POLIS/BOMBA.
  • Dilarang merokok.
  • Elakkan guna telefon bimbit.
  • Elakkan datang beramai-ramai atau bersama keluarga.
  • Hanya untuk membasuh dan mengering pakaian sahaja.

Korang dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika menggunakan sebarang perkhidmaan dobi. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau aduan, korang boleh hubungi ST di talian bebas tol (1-800-2222-78) atau nombor telefon (03-8870 8500).

Adib Mohd