Siakap Keli
Gambar: Bernama

Hampir 24 Jam Sesat, Wanita Ditemukan Selamat

GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) — Seorang wanita yang sesat hampir 24 jam ketika mendaki di Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di sini semalam, ditemukan selamat kira-kira dua kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan tersesat, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat wanita berusia 30-an itu selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.04 petang semalam memaklumkan mangsa sesat.

“Mangsa menghubungi pihak bomba mendakwa dia tersesat ketika mendaki di kawasan itu dan kali terakhir wanita berkenaan dapat dihubungi ialah pada 7.30 malam semalam.

“Operasi pencarian pada waktu malam diteruskan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), pasukan polis dan orang awam yang mahir dengan laluan pendakian di bukit tersebut namun gagal menemukan mangsa.

“Komander operasi membuat keputusan untuk menangguhkan sementara operasi mencari wanita itu pada 2.15 pagi tadi kerana tiada petunjuk lokasi mangsa berada pada ketika itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut jurucakap itu, operasi diteruskan 8 pagi hari ini dengan disertai oleh 44 petugas terdiri daripada 12 anggota bomba, PBS (dua orang), polis (11 orang) dan Angkatan Pertahanan Awam (19 orang) serta bantuan daripada pendaki yang mahir dengan laluan di situ.

Katanya, operasi dijalankan di kawasan Air Terjun Botani dengan jarak dua kilometer dari kaki bukit dengan pencarian dibahagikan kepada empat sektor bermula dari kawasan air terjun dengan radius dua kilometer.

Menurutnya, wanita itu ditemukan pada 2.57 petang di atas bukit kira-kira dua kilometer dari lokasi awal dilaporkan sesat dan berada dalam keadaan selamat.

“Mangsa dibawa turun ke bawah dan seterusnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada 4.45 petang,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.