Siakap Keli
Kredit: BERNAMA

Peniaga Jangan Guna ‘Stapler’ Untuk Bungkus Makanan – Persatuan Pengguna Malaysia

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Saravanan Thambirajah memaklumkan bahawa sesiapa yang tidak berpuas hati dengan sebarang pembelian boleh membuat laporan kepada Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan di laman webnya.

Beliau mengulas laporan terbabit apabila ramai penjaja didapati suka menggunakan dawai kokot atau lebih dikenali sebagai stapler untuk membuat pembungkusan makanan meskipun ia bertentangan dengan peraturan.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun telah dikejarkan ke hospital apabila mengadu sakit perut selepas mengambil sebungkus makanan. Melalui X-ray yang telah dibuat, ia menunjukkan bahawa dia telah termakan paku, dan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah mengarahkan penjual makanan berhenti menggunakan objek berbahaya dalam pembungkusan makanan mereka. Mereka yang melanggar peraturan boleh didenda sehingga RM10,000, penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Saravanan turut menegaskan bahawa isu keselamatan makanan melalui proses pembungkusan adalah sangat penting.

“Pengguna harus berwaspada apabila mereka pergi ke restoran atau gerai makanan untuk menjamu selera. Lihat sekeliling dan perhatikan apa yang berlaku di sana terutamanya jika anda memutuskan untuk menjamu selera.”

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak lesen perniagaan kedai makan terlebih dahulu, selain melihat tahap kebersihan seperti yang digredkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Lesen perniagaan dan tahap kebersihan haruslah dipamerkan dengan jelas di kawasan kedai makan untuk dirujuk oleh pelanggan.”

Saravanan berkata, pelanggan juga perlu memberi perhatian untuk melihat sama ada pekerja kedai makan tersebut mematuhi prosedur operasi standard dan juga peraturan perniagaan.

“Mereka hendaklah memakai (penutup) rambut dan sarung tangan semasa mengendalikan makanan untuk memastikan kebersihan,” tambahnya.

Presiden Persekutuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia, Datuk Yow Boon Choon mengakui ramai peniaga mengabaikan aspek keselamatan dalam pembungkusan makanan mereka.

“Cara paling selamat untuk membungkus makanan adalah dengan tidak menggunakan objek berbahaya seperti stapler,” katanya sambil menambah bahawa makanan kering boleh dibungkus dalam beg bertutup dan makanan tradisional seperti nasi lemak boleh dibungkus tanpa menggunakan stapler.

Tegasnya, keutamaan utama penjual makanan adalah keselamatan pengguna. Stapler dan objek berbahaya lain tidak boleh diletakkan berhampiran sebarang jenis makanan atau minuman.

“Kemalangan boleh berlaku dan seseorang mungkin akhirnya menelan salah satu objek ini dan memerlukan pembedahan.”

Yow turut menasihatkan peniaga supaya lebih berhati-hati ketika membungkus makanan. Beliau berkata bahawa kursus cara membungkus makanan dengan selamat untuk dijual telah dianjurkan kepada para peniaga yang menganggotai persatuan dalam persekutuan.

“Ini adalah cara kami mewujudkan kesedaran dan mengajar mereka cara paling selamat untuk membungkus makanan. Terdapat banyak cara untuk membungkus makanan dengan betul dan selamat. Kami berharap apabila mereka telah memperoleh pengetahuan itu, ia dapat menghentikan insiden orang menelan objek berbahaya dalam makanan mereka,” tambahnya.

Sumber: The Sun daily

Akhmar Ikmal