Siakap Keli
Kredit: Spor Arena via Daily Mail

Bekas Pemain Pertahanan Galasataray, Ahmet Calik Maut Terlibat Kemalangan

Bekas pemain pertahanan kelab Galatasaray, Ahmet Calik, 27, dilapor meninggal dunia akibat kemalangan kereta pada pagi Selasa, lapor BBC.

Laporan rasmi dari Turki menjelaskan, kereta yang dipandunya didakwa hilang kawalan semasa melalui Lebuhraya Ankara-Nigde sebelum terkeluar dari jalan dan terbalik.

Bagaimanapun, paramedik mengesahkan bahawa Ahmet telah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika di lokasi kejadian.

Menurut Spor Arena, Ahmet yang memandu bersendirian ketika itu sedang dalam perjalanan menuju ke Ankara untuk menguruskan urusan perkahwinannya yang bakal berlangsung Februari depan.

Berita kematian pemain skuad kebangsaan Turki itu turut disahkan di laman Twitter rasmi kelab Ittifak Holding Konyaspor hari ini.

“Kami berasa sangat sedih atas kehilangan pemain kami, Ahmet Calik.

“Beliau sentiasa mendapat sokongan dan kasih sayang daripada kelab peminat sejak hari pertama beliau menyertai Konyaspor,” maklum kelab tersebut.

Difahamkan, punca kemalangan masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa setakat ini.

Terdahulu, Ahmet pernah membuat lebih 50 penampilan bersama kelab gergasi Turki berkenaan selama tiga tahun sebelum berhijrah ke Konyaspor pada 2020 lalu.

Sumber: Bbc.com / Mirror

 

 

Nadhirah