Seorang bomoh berusia 54 tahun dilaporkan telah ditahan setelah didapati merogol tiga orang remaja bawah umur dengan alasan untuk memberikan ‘azimat pengawal’ kepada mangsa.
Menurut laporan Sindo News, lelaki yang berasal dari Kecamatan Kembayan Kabupate Sangau, Kalimantan Barat itu telah melakukan perkara tersebut pada pertengahan bulan Disember 2021 ketika ketiga-tiga mangsa ikut serta dalam aktiviti rawatan bersama ibu bapa mereka di rumahnya.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sanggau, AKP Tri Prasetyo berkata suspek telah memberikan ‘azimat’ kepada tiga mangsa tersebut, kononnya untuk melindungi diri mereka.
Selepas itu suspek telah meminta mereka masuk ke dalam bilik khas untuk menjalankan upacara pemeliharaan diri.
“Di bilik khas ini, ketiga-tiga mangsa telah dicabul dan disetubuhi oleh pelaku,” kata Tri Prasetyo.
Ujarnya lagi, ketiga-tiga mangsa telah memberitahu ibu bapa mereka selepas diserang secara seksual oleh suspek dan seterusnya melaporkannya kepada pihak polis.
Berdasarkan laporan dan pemeriksaan lanjut terhadap mangsa, suspek akhirnya telah ditahan di rumahnya oleh pasukan Satreskrim Jatanras Polis Sanggau.
Jika terbukti telah melanggar Akta Perlindungan Kanak-Kanak nombor 23, tahun 2002, suspek bakal berhadapan dengan hukuman penjara minimum 15 tahun.
Sumber: Sindo News