Siakap Keli
Gambar: Oddity Central

20 Tahun Sembunyi Dari Polis, Mafia Paling Dikehendaki ‘Kantoi’ Lepas Muka Masuk Google Maps

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Demikian kisah seorang mafia yang akhirnya tertangkap secara kebetulan selepas 20 tahun bersembunyi dari pihak berkuasa.

Gioacchino Gammino, seorang mafia antara yang paling dikehendaki di Itali diberkas pihak polis di pekan Galapagar berhampiran Madrid bulan lepas, setelah mukanya terpampang pada visual Google Maps, lapor Oddity Central.

Menurut Penolong Pengarah Unit Polis Anti Mafia Itali (DIA), Nicola Altiero, ciri fotogram ini membantu dalam penyiasatan mereka di samping kaedah penyiasatan secara ‘tradisional’.

Namun, tidak dapat dipastikan secara spesifik bagaimana pihak berkuasa boleh mengesan Gammino di hadapan sebuah kedai menjual buah dan sayur-sayuran, El Huerto de Manu di Galapagar.

Gambar: Oddity Central

Memetik laporan, Gammino sendiri terkejut ketika ditangkap pada 17 Disember dan perkara pertama yang ditanya kepada polis ialah ”Bagaimana anda menemui saya? Saya tidak menghubungi keluarga saya selama 10 tahun!”.

Gammino mengaku dia telah menukar nama dan bekerja sebagai tukang masak di salah sebuah restoran tempatan yang menyediakan makanan Itali.

Selepas melihat Gammino di Peta Gooogle, pendakwa raya berjaya mengesahkan identiti Gammino  melalui akaun Facebook milik restoran tempatnya bekerja dengan parut di bahagian kiri dagu.

Difahamkan, Gioacchino Gammino dikehendaki kerana membunuh dan beberapa jenayah lain berkaitan mafia. Dia tergolong dalam puak mafia di Agrigento, Sicily, dan pada asalnya ditangkap dan disabitkan kesalahan pada tahun 1998.

Empat tahun kemudian, dia berjaya melarikan diri dari penjara Rebibbia di Rom, di mana dia menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Ini bukan kali pertama Peta Google menjadi tajuk berita kerana secara tidak sengaja menunjukkan muka seseorang. Pada 2018, seorang lelaki Peru menceraikan isterinya selepas mendapati kecurangan wanita itu ketika dia secara tidak sengaja melihat Google Street View secara santai.

Sumber: Oddity Central

" "