Siakap Keli
Gambar: Global Trade Review

Dua Anak Presiden Indonesia Dilapor Ke KPK, Didakwa Terlibat Rasuah Dengan Syarikat Pembakaran Hutan Secara Haram

JAKARTA – Dua anak lelaki Presiden Joko Widodo dilaporkan ke Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) atas dakwaan rasuah yang membabitkan kegiatan pembakaran hutan secara haram.

Kedua-dua mereka dilaporkan disyaki terlibat dengan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dakwaan rasuah, pakatan sulit dan nepotisme (KKN).

Laporan itu dikemukakan oleh seorang pensyarah Universiti Negeri Jakarta (UNJ) yang juga merupakan seorang aktivis 98, Ubedilah Badrun.

Malah, Ubedilah turut meminta KPK memanggil bapanya yang disifatkan mampu menjelaskan kaitan dua anaknya dalam kes yang dilaporkan.

“Kami mohon KPK siasat dan minta KPK jelaskan dan jika perlu, panggil bapanya untuk menjelaskan perkara ini,” kata Ubedilah di Gedung Merah Putih KPK, Jakarta, semalam.

Ubedilah menjelaskan, laporannya kepada KPK adalah berdasarkan hubungan perniagaan diantara dua anak presiden itu dengan kumpulan perniagaan yang disyaki terlibat dalam kebakaran hutan.

Menurutnya lagi, perniagaan itu bermula pada tahun 2015 ketika sebuah syarikat besar bernama PT SM sudah menjadi salah satu tertuduh dalam kejadian kebakaran hutan. PT SM turut disaman oleh Kementerian Lingkungan Hidup dengan nilai Rp 7.9 trilion (RM2.31 bilion). Bagaimanapun, dalam proses itu, Mahkamah Agung (MA) hanya memerintahkan syarikat itu membayar saman berjumlah Rp 78 bilion (RM22.9 juta) sahaja.

“Ini berlaku pada Februari 2019 selepas anak Presiden itu mewujudkan syarikat bersama dengan anak orang atasan syarikat PT SM,” jelas Ubedilah.

Menurutnya, dakwaan KKN yang melibatkan kedua-dua anak Presiden dengan anak orang atasan syarikat PT SM itu sangat jelas kerana adanya suntikan dana pelaburan modal daripada sebuah syarikat teroka.

“Dua kali dana dikeluarkan. Angkanya lebih kurang Rp. 99.3 bilion (RM29 juta) dalam masa terdekat. Dan selepas itu, anak Presiden membeli saham dalam syarikat yang angkanya juga cukup hebat, Rp. 92 bilion,” kata Ubedilah.

“Dan itu, bagi kami, tanda tanya besar adakah anak muda yang baru memulakan syarikat mudah mendapat pelaburan modal dengan angka yang cukup hebat jika bukan anak Presiden,” katanya.

Dalam laporan kepada KPK, Ubedilah mengakui turut membawa bukti data syarikat serta berita berkaitan penyediaan penyertaan modal teroka itu.

Sementara itu, pihak KPK menyatakan bahawa pihaknya telah pun menerima laporan berkenaan perkara itu.

Pemangku Jurucakap KPK, Ali Fikri menyatakan, pihaknya akan menyiasat laporan itu terlebih dahulu dengan mengesahkan dan menyemak data yang disediakan dalam laporan yang membabitkan dua anak Presiden Indonesia itu.

Sumber: Kompas.com

" "