Siakap Keli
Kredit: Google

Leka Sampai Sejam, Aplikasi TikTok Didakwa Boleh Jejaskan Kualiti Tidur Individu – Kajian

Umum mengetahui, jika ingin mendapatkan jumlah tidur yang mencukupi, kita tidak digalakkan untuk melihat telefon pintar sebelum tidur. Tetapi hal ini tidak pelik jika ramai antara anda yang masih gemar bermain dengan telefon pintar pada waktu tersebut.

Ada yang kerap bermain dengan telefon pintar untuk mendengar lagu, bermain game dan menonton cerita sebelum tidur. Begitu juga dengan mereka yang gemar menggunakan aplikasi-aplikasi media sosial yang terdapat dalam telefon pintar masing-masing.

Satu tinjauan telah dijalankan oleh Sleep Junkie melalui The Sun yang melibatkan sejumlah 2,012 orang dewasa untuk melihat kesan sekiranya individu menggunakan beberapa aplikasi sebelum tidur yang dikatakan boleh menjejaskan kualiti tidur seseorang individu.

Menurut kajian itu, TikTok didakwa merupakan aplikasi yang boleh menjejaskan kualiti tidur seseorang individu. Hampir 89 peratus iaitu majoriti peserta akan bangun dengan keadaan penat jika dibandingkan dengan 24 peratus peserta lain yang tidak bermain dengan aplikasi itu sebelum tidur.

Tambah laporan itu, Sleep Junkie melalui The Sun turut mengesyorkan orang ramai agar tidak menggunakan sebarang elektronik selama sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu tidur.

Hal ini dikatakan demikian kerana, cahaya biru yang dipancarkan oleh telefon pintar boleh merangsang otak dan mengurangkan pengeluaran melatonin sekali gus menjadikan seseorang individu itu kerap terjaga sebelum tidur.

Gambar: Getty Images via The Sun

Perkara ini juga boleh membawa kepada kesihatan mental dan fizikal yang lemah. Aplikasi TikTok dikatakan boleh menyebabkan seseorang itu mengambil masa satu jam tujuh minit untuk membolehkannya tidur selepas menggunakan aplikasi itu.

Manakala Instagram dan Snapchat pula masing-masing mengambil masa 58 dan 56 minit untuk membolehkan individu tidur selepas menggunakan kedua-dua aplikasi itu.

Selain itu, bagi mereka yang menggunakan Twitter sebelum tidur, mereka akan mengambil masa 50 minit untuk tidur selepas menggunakan aplikasi itu.

Bagaimanapun, hal ini berbeza dengan Facebook yang hanya mengambil masa 45 minit untuk individu tidur selepas menggunakan aplikasi itu sebelum mereka tidur.

Sumber: The Sun

" "