Siakap Keli
Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Penjagaan Diri Yang Tiada Tarikh Luput

Shah Alam, 12 Januari 2022 – Selepas setahun mengharungi cabaran yang timbul akibat pandemik dan menyaksikan pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran, soalan yang bermain di fikiran ramai orang sekarang ialah sejauh manakah perbezaan antara dunia sebelum dan selepas pandemik? Bagaimanakah keadaan ‘norma baharu’ yang bakal ditempuhi? Banyak persoalan dan kemusykilan masih tidak terjawab tentang kehidupan kita
pasca pandemik.

Hampir 70% daripada responden Tinjau Selidik ‘Kesejahteraan Bermula Dari Rumah’ (Wellness Begins at Home) Gardenia, yang dikendalikan dengan kerjasama Cilisos Media, mendedahkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan telah membebankan kesihatan mental mereka.

Lebih membimbangkan lagi ialah hakikat bahawa kesannya masih dirasai oleh ramai orang walaupun Perintah Kawalan Pergerakan sudah lama dilonggarkan. Untuk membolehkan kita meneruskan kehidupan pasca pandemik, marilah kita selami peranan dan kepentingan penjagaan diri sebelum kita kembali kepada rutin kehidupan biasa kita.

Tetapi terlebih dahulu, apakah yang dimaksudkan dengan penjagaan diri? Secara literal, penjagaan diri bermaksud menjaga diri anda sendiri. Biasanya ia dikaitkan dengan masa untuk RnR atau ‘rawat dan rehat’, iaitu melapangkan fikiran dan menghilangkan stres yang terkumpul daripada tuntutan kerja atau rutin harian. Menjaga diri juga bermakna membentuk tabiat yang baik tetapi hakikatnya sukar untuk diamalkan seperti makan secara sihat, kerap bersenam, dan menetapkan had tertentu.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Menurut Tinjau Selidik ‘Kesejahteraan Bermula Dari Rumah’ Gardenia, rakyat Malaysia mengakui bahawa mereka tidak begitu cekap mengimbangkan masa bekerja dan beriadah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan beberapa kali. Berikut adalah hasil tinjauan tersebut:

  • Tidak sampai 10% responden mengamalkan diet seimbang, dengan lebih 60% makan bila-bila mereka rasa teringin untuk makan.
  • Sebelum PKP, 44.7% berkata mereka bersenam sekurang-kurangnya sekali seminggu. Bagaimanapun, sewaktu PKP pertama, angka ini menurun kepada 40.5%.
  • Berhubung dengan keseimbangan kerja-kehidupan, 20% berkata mereka bekerja lebih daripada biasa semasa PKP.

Luangkan masa untuk mendengar apa yang diperlukan oleh badan, minda dan jiwa anda. Penjagaan diri hendaklah dijadikan amalan biasa sebagaimana kita makan atau bernafas, dan bukan satu kemewahan.

Penjagaan diri untuk kehidupan pasca pandemik: Di mana untuk bermula?

1. Menjaga keseimbangan

Garis pemisah antara kerja dan kehidupan peribadi telah menjadi kabur sepanjang tempoh kita terkurung di rumah. Sepanjang tempoh ini, satu demi satu mesyuarat maya diadakan sehingga larut malam. Trend ini agak membimbangkan.

Ibu bapa yang bekerja terpaksa menunaikan tuntutan kerja, sambil memasak, menjaga anak,
mengulang kaji pelajaran bersama anak-anak yang bersekolah dan dalam pada itu melakukan kerja rumah:

Hasil Tinjau Selidik ‘Kesejahteraan Bermula Dari Rumah’ mendapati:

  • 27% responden berkata mereka tidak mempunyai keseimbangan kerja kehidupan semasa pandemik;
  • 20% berkata mereka menanggung lebih banyak beban kerja.

Situasi ini amat membimbangkan, kerana kita semua perlu menetapkan batasan tertentu demi kesihatan. Seperti kata pepatah Inggeris, “A time for everything and everything in its time” yang bermaksud ada masa dan hadnya untuk setiap sesuatu yang kita lakukan.

2. Atur semula rutin kehidupan anda

Pernahkah anda mengisi masa hujung minggu anda dengan begitu banyak kerja rumah dan aktiviti bersama keluarga dan kawan-kawan, hingga menyebabkan anda terlalu letih pada lewat petang Ahad?

Menetapkan rutin nampak membosankan, tetapi ia boleh dijadikan garis panduan umum untuk memastikan anda mempunyai masa yang sewajarnya untuk melaksanakan semua rancangan anda dan dapat mengelakkan anda daripada terlalu letih, lebih-lebih lagi untuk memulakan kehidupan pasca pandemik. Jangan lupa untuk menjadualkan sedikit ‘masa untuk diri sendiri’ dalam rutin anda.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

3. Bersiar-siar di luar

Kebanyakan daripada kita menghabiskan banyak masa menghadap skrin semasa pandemik. Luangkan masa dengan sinar matahari. Dekatkan diri semula dengan alam semula jadi. Lakukan aktiviti bersukan seperti berjalan kaki, berbasikal dan mendaki tembok.

Dan jangan lupa untuk terus mengamalkan tabiat menjaga kebersihan dan kesihatan dengan mematuhi prosedur operasi standard seperti menggunakan pensanitasi tangan atau membasuh tangan dengan sabun sebaik pulang ke rumah atau selepas menyentuh permukaan di tempat-tempat awam.

4. Lakukannya secara beransur-ansur

Pandemik dan PKP telah menimbulkan kesan trauma terhadap ramai orang. Sesetengah orang masih rasa resah untuk bercampur gaul semula dengan masyarakat dan meneruskan kehidupan normal. Malah, sesetengah daripada kita mungkin sudah lupa cara untuk bersosial.

Buat secara beransur-ansur dan tanya khabar satu sama lain dari masa ke masa dan dapatkan bantuan profesional, jika perlu. Sebelum melangkah lebih jauh, mulakan dengan mengeratkan semula hubungan dengan keluarga dan orang-orang tersayang, lebih-lebih lagi selepas sekian lama terpisah disebabkan larangan rentas negeri sepanjang tempoh PKP.

Menurut kajian oleh Gardenia dengan kolaborasi Cilisos Media, pandemik dan PKP telah meninggalkan trauma pada kesihatan mental ramai orang. Oleh itu, Gardenia KL telah berkongsi empat tips penjagaan diri untuk membantu anda menyesuaikan diri dengan rutin pasca pandemik.

Gardenia KL bertekad untuk terus memberikan sokongan kukuh kepada usaha negara untuk pulih daripada pandemik COVID-19. Sempena Minggu Kesihatan Mental Sedunia 2021, hasil penemuan daripada Tinjau Selidik ‘Kesejahteraan Bermula Dari Rumah’ telah dibincangkan dalam forum secara langsung menerusi akaun Facebook @GardeniaKL bersama penggiat kesihatan mental selebriti dan Penaung MIASA, Che Puan Sarimah Ibrahim; penggiat kesihatan mental dan Presiden MIASA, Anita Abu Bakar; dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun. Perbincangan meliputi kesan pandemik terhadap rakyat Malaysia, petua gaya hidup lebih sihat dan banyak lagi.

Jika anda terlepas program ini, usah bimbang! Anda masih boleh mengikuti perbincangan di laman Facebook Gardenia KL: https://fb.watch/8Lrd_rysnb/

Amira

Love yourself.