Siakap Keli
Gambar: abc.News

(Video) Bumi Bakal Miliki ‘Kotak Hitam’ Sendiri, Untuk Rekod Perubahan Iklim & ‘Kemusnahan’ Dunia Hasil ‘Kemungkaran’ Tangan Manusia

Sebuah kotak hitam akan dibina di atas dataran granit di di pantai barat Tasmania, Australia pada awal tahun 2022.

Seperti yang semua sudah maklum fungsi kotak hitam ialah untuk merakam segala bunyi yang terdapat di dalam kapal terbang.

Begitu jugalah dengan kotak hitam yang akan digunakan di atas bumi ini dengan ukuran monolit keluli 10 x 4 x 3 meter.

Ia dibina untuk merakam perubahan cuaca, berupaya ‘melihat’ kerosakan yang dilakukan oleh manusia dan ‘merakam’ apa yang kita lakukan sebagai usaha untuk menyelamatkan Bumi sebelum terlambat.

Saintis sekian lama mengingatkan komuniti dunia bahawa perubahan iklim adalah antara ancaman terbesar yang manusia perlu hadapi ketika ini. Ia menyebabkan ketidak samarataan ekonomi dan kesihatan semakin memburuk. Ia juga mengancam bekalan makanan dunia dan bencana-bencana alam lebih kerap terjadi.

Menurut Pengarah Projek Clemengger BBDO ini, Jim Curtis, sekiranya malapetaka besar menimpa Bumi dan kotak hitam ini terselamat, sekurang-kurangnya ‘cerita’ tentang apa yang berlaku akan tersimpan elok.

Dibina di Tasmania

Kawasan pantai barat Tasmania dipilih berdasarkan kestabilan geopolitik dan geologinya. Berbanding tempat-tempat lain seperti Malta, Norway, dan Qatar, kawasan Tasmania boleh menampung kotak hitam tersebut untuk manfaat tamadun masa depan sekiranya perubahan iklim membawa bencana menyebabkan kejatuhan kita.

Lebih-lebih lagi, kotak hitam ini memang dibina untuk merakam apa yang terjadi kepada Bumi, hasil sumbangan ‘tangan-tangan’ manusia.

Jadi apakah itu kotak hitam? Pertama sekali ia adalah sejenis alat. Satu kotak yang dibuat daripada keluli setebal 7.5 cm, dan julur dari granit.

Dilengkapi internet dan storan data

Kotak tersebut akan diisi dengan jisim pemacu storan dan mempunyai sambungan internet. Kesemuanya akan dijana kuasa secara solar di atas bumbung struktur.

Bagi bateri pula ia akan menyediakan storan lebih sebagai sandaran.

Dan apabila matahari bersinar, kotak hitam akan memuat turun data saintifik dan algoritma akan mengumpulkan bahan berkaitan perubahan iklim daripada internet.

Apa yang akan direkod oleh kotak hitam ini?

Projek ini secara keseluruhannya dibina bukan atas dasar keuntungan, sebaliknya sebagai ‘rumah’ untuk menyimpan memori-memori yang terjadi kepada Bumi untuk tatapan generasi akan datang.

Menurut organisasi yang merancang pembinaan kotak hitam ini, mereka berharap sekiranya suatu hari nanti tamadun-tamadun yang ada di Bumi musnah, sesiapa sahaja yang menemui kotak hitam ini dan berjaya membaca data yang disimpan di dalamnya, akan mengetahui apa yang berlaku sehingga membawa kepada kejatuhan tamadun-tamadun tersebut.

Kotak hitam ini juga dibina untuk menjadi bukti kepada kealpaan pemimpin-pemimpin dunia untuk melihat dan melakukan sesuatu tentang pemanasan global yang berlaku ketika ini. Bagaimanapun, data yang direkod boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

  1. Mengukur suhu daratan dan lautan, perubahan tahap keasidan laut, bacaan karbon dioksida, kepupusan spesis, penerokaan hutan serta data populasi manusia, aktiviti ketenteraan dan penggunaan tenaga.
  2. Mengumpul data daripada laporan-laporan seperti laporan berita, kandungan media sosial, tetapan-tetapan yang diambil daripada perhimpunan mengenai perubahan iklim.

Kotak hitam sudahpun mula merekod

Walapun dirancang untuk dibina pada awal tahun ini, namun data-data yang sedia ada sudahpun mula direkod dan disimpan pemacu keras.

Selain merakam data-data mengenai kejadian-kejadian semasa, kotak hitam ini juga merakam apa yang berlaku di masa lampau akibat perubahan iklim yang menyebabkan kita berada disini hari ini. Malah, kotak hitam ini juga ‘mengorek’ semua data-data mengenai cuaca yang pernah dilaporkan di Internet.

Malah, kotak hitam ini juga bakal mempunyai ruang storan yang dirancang berupaya untuk menyimpan data sehingga 50 tahun akan datang.

 

 

Sumber: ABC News, New York Times

" "