Siakap Keli
Gambar: PDSA via BBC/TCU Magazine

Magawa Tikus ‘Terlatih’ Bantu Kesan & Bersihkan Ratusan Periuk Api Di Kemboja Telah Mati

Seekor tikus Tanzania yang pernah berjasa membantu masyarakat Kemboja membersihkan periuk api di kawasan tanah seluas kira-kira 225,000 meter persegi telah mati baru-baru ini pada usia lapan tahun.

Tikus unik bernama Magawa itu dilapor sudah pun ‘bersara’ selepas berkhidmat mengesan lebih 100 buah periuk api dan bahan letupan lain yang pernah ditanam ketika era perang saudara Kemboja kira-kira tiga dekad lalu.

Berita kematian Magawa itu disahkan oleh Badan Amal, Pembangunan Pengesanan Periuk Api Anti-Personel Belgium (APOPO) selaku pihak yang bertanggungjawab melatih tikus berkenaan.

“Kami semua di APOPO merasai kehilangan Magawa dan kami bersyukur atas kerja luar biasa yang ia lakukan,” katanya, memetik BBC.

Difahamkan, tikus tersebut dilatih oleh APOPO untuk mengesan sebatian kimia dalam bahan letupan. Ini bertujuan supaya pihak pengesan dapat mengalihkan periuk api berkenaan dengan lebih selamat.

Menurut APOPO, pada minggu lalu Magawa berada dalam keadaan sihat dan menghabiskan masa dengan bermain seperti biasa.

“Pergerakkan Magawa mula terlihat kurang lincah pada hujung minggu dan lebih banyak tidur pada waktu siang.

“Magawa juga mula menunjukkan kurang selera makan pada saat-saat terakhir hidupnya,” kata mereka.

Hanya ambil masa 30 saat sahaja

Menurut BBC, Magawa dihantar  berkhidmat ke Kemboja selepas menjalani latihan khusus menghidu bahan sebatian kimia letupan selama setahun di Tanzania.

Untuk rekod, Magawa mampu menyelesaikan semua tugasannya iaitu mengesan periuk api dan bahan letupan di kawasan seluas gelanggang tenis dengan hanya mengambil masa selama 30 minit sahaja.

Ia satu rekod yang sangat menakjubkan untuk seekor tikus sekecilnya jika dibandingkan dengan penggunaan kaedah konvensional pengesanan logam yang sebaliknya memerlukan tempoh empat hari bagi keluasan yang sama.

Pada September tahun lalu, Britain telah beri penghormatan tertinggi kepada tikus tersebut kerana kebolehannya yang luar biasa mampu mengesan periuk api dan bahan letupan yang masih belum meledak.

Ini menjadikan Magawa sebagai tikus pertama di dunia yang memiliki pingat daripada badan amal veterinar British, People’s Dispensary for Sick Animals (PDSA) dalam tempoh 77 tahun setakat ini.

Sumber: BBC

 

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.