Siakap Keli
Gambar via Yahoo! Sports

(Video) Perlawanan Bola Sepak Diantara Mali Dan Tunisia Berakhir Tegang, Kredibiliti Pengadil Cetus Kontroversi

Sukan bola sepak sering kali dikaitkan dengan aktiviti dan keputusan yang mencurigakan. Pun begitu, ianya jarang-jarang sekali terjadi dalam perlawanan di peringkat tertinggi seperti yang terjadi semasa perlawanan Mali dan Tunisia pada peringkat kumpulan Piala Negara-Negara Afrika ini.

Dengan baki lima minit perlawanan peringkat kumpulan diantara Tunisia dan Mali, seorang pengadil perlawanan cuba untuk menamatkannya sebanyak dua kali tanpa sebab yang jelas.

Kekecohan bermula sejurus selepas minit ke-85 perlawanan di mana Mali mendahului 1-0. Menurut portal Yahoo! sports, pengadil perlawanan yang berasal dari Zambia itu (sebelum ini pernah digantung tugas kerana disyaki terlibat rasuah) telah meniup wisel dan mengangkat tangannya ke udara menandakan bahawa perlawanan sudah tamat.

Pada awalnya, pemain dan jurulatih Tunisia mula bingung dan berang. Tunisia memprotes tentang apa yang berlaku. Jurulatih Tunisia memasuki padang kemudian berlari ke arah pengadil itu dan menunjukkan jam tangan mereka sambil memegang lengan pengadil tersebut untuk menyatakan maksud mereka.

Seminit kemudian, perlawanan dimulakan semula. Selepas keadaan menjadi huru-hara, dia cuba menamatkannya sekali lagi. 30 saat selepas itu, pengadil berkenaan melayangkan kad merah kepada salah seorang pemain Mali.

Tiga minit selepas insiden terbabit, dengan waktu perlawanan pada ketika itu menunjukkan minit 89:43, pengadil itu meniupkan wisel penamat sekali lagi.

Perlawanan tersebut bukan sahaja sepatutnya berlangsung selama 90 minit, malah ia sepatutnya berlangsung lebih dari 90 minit. Hal ini kerana berlakunya rehat, penggantian pemain, kad merah dan wisel sepenuh masa yang membingungkan. Ia sepatutnya membawa kepada sekurang-kurangnya tiga minit masa tambahan, jika tidak lebih.

“Sepatutnya ada 7-8 minit masa tambahan”, kata jurulatih Tunisia, Mondher Kebaier.

Pada awal separuh masa kedua, pengadil itu menghadiahkan penalti kepada Mali yang disempurnakan oleh Ibrahima Kone bagi gol tunggal permainan. Tidak lama kemudian, dia memberikan penalti kepada Tunisia yang diselamatkan oleh penjaga gol Mali, Ibrahim Mounkoro.

Kira-kira 20 minit kemudian, Konfederasi Bola Sepak Afrika cuba untuk memulakan semula perlawanan tersebut. Pegawai dilaporkan menyerbu sidang akhbar jurulatih Mali, Mohamed Magassouba dan cuba membawa kedua-dua pasukan itu kembali ke padang.

“Pemain lebih bersedia. Malangnya, lawan kami tidak mahu keluar”, katanya pada sidang akhbar.

Kebaier memaklumkan bahawa pemain Tunisia sudah mula mandi ais selepas perlawanan. Mali menunggu mereka selama beberapa minit tetapi Tunisia tidak memunculkan diri, maka perlawanan dibatalkan sekali lagi dan Mali meraih kemenangan jelas dengan 1-0 terhadap Tunisia.

Tunisia juga boleh memfailkan bantahan rasmi dan permainan itu boleh dimulakan semula atau dimainkan semula di kemudian hari.

Pengadil tersebut pernah mencetuskan kontroversi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Afrika pada 2018. Namun dengan perbicaraan yang belum selesai, pengadil berkenaan digantung sementara tetapi larangan itu ditarik semula pada 2019.

Sebelum ini, pengadil itu pernah dianggap sebagai pengadil yang dihormati. Dia juga telah memimpin dua perlawanan di Piala Dunia 2018. Dia juga pernah mengendalikan edisi Piala Negara-Negara Afrika sebelumnya, iaitu kejohanan dwitahunan terulung di Afrika dan juga final Piala Dunia Kelab pada tahun 2016.

Sumber: Yahoo! Sports

Aireena Marizan