Siakap Keli

Ibu Tunggal Gigih Besarkan Tiga Anak Kembar Selepas Terlibat Banjir

Banting, 11 Januari – Nasib ibu tunggal dalam membesarkan 3 orang anak kembarnya semakin membimbangkan apabila menjadi mangsa banjir di Kg, Rancangan Tanah Baharu (RTB), Bukit Changgang di sini.

Dinem Samijo, 51, yang merupakan peniaga nasi lemak itu terpaksa menggunakan semua wang simpanannya untuk memulakan semula perniagaannya.

“Duit simpanan semua saya gunakan untuk membaiki kereta, motorsikal dan membeli periuk nasi yang besar untuk saya mulakan perniagaan nasi lemak,” kata Dinem atau lebih mesra dipanggil Kak In yang menjadi ibu tunggal sejak 5 tahun lalu.

Anak-anaknya, dari kiri Muhammad Hafizzul Mohd Zaini, Norsyafiqah Mohd Zaini, Muhammad Amirul Mohd Zaini masing-masing masih bersekolah di tingkatan tiga.

“Kawan anak-anak semua sudah mula bersekolah tetapi mereka terpaksa berganti-ganti ke sekolah kerana hanya ada satu baju sekolah sahaja.

“Setiap pagi kalau saya terlepas untuk bangun awal, anak-anak yang akan kejut saya pada jam dua ke tiga pagi untuk menyediakan nasi lemak untuk berniaga.

“Banjir di Bukit Changgang ini merupakan kali ketiga berlaku sejak 15 tahun dahulu. Kali pertama berlaku semasa 2008, kedua 2013 dan tahun ini yang paling teruk,” katanya lagi yang sudah bermastautin di Malaysia lebih dari 15 tahun.

Melihatkan nasib ibu tunggal ini, MyFundAction dengan kerjasama Surau Al-Furqan, Putrajaya telah menyerahkan barangan berupa kotak makanan Rezeki Ummat, pakaian sekolah, dapur, periuk nasi serta wang tunai bernilai RM100.

“Masyarakat yang ingin bersama-sama dalam membantu mangsa-mangsa banjir seperti ini sangat kami alu-alukan,” kata Shahidah Othman, Pegawai Operasi MyFundAction.

Amira

Love yourself.