Siakap Keli
Gambar: Sinar Harian

Sayu, Bapa Dan Dua Anak Lemas Dalam Tragedi Bot Karam

Tiga beranak lemas manakala seorang lagi terselamat apabila bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian yang berlaku di perairan Pulau Tagabua sekitar jam 4.30 petang pada Khamis, lapor Sinar Harian.

Memetik laporan, empat mangsa yang terlibat iaitu pasangan suami isteri dan dua anak mereka itu dipercayai dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat memetik Sinar Harian berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan kejadian tersebut.

“Dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia lima dan tiga tahun ditemui lemas dalam kejadian itu. Ibu mereka berusia 25 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan.

”Mayat seorang lagi lelaki dikenali sebagai Saujal Mangguna, 31, iaitu bapa kepada dua kanak-kanak berkenaan ditemui terapung oleh pasukan mencari dan penyelamat (SAR) dan nelayan kira-kira jam 10.40 pagi tadi di perairan Pulau Tagabua,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Kata beliau, kesemua mangsa sedang dalam perjalanan dari kampung mereka di Kampung Bangkuruan Lahad Datu ke Pekan Kunak ketika kejadian bot karam itu berlaku.

“Mereka dipercayai keluar membeli barang keperluan harian di Pekan Kunak dan sebaik tiba di lokasi, bot yang dinaiki dipukul ombak akibat angin kencang dan menyebabkan bot mereka terbalik,” katanya.

Tambah Sabarudin, ketiga-tiga mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kunak untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai atau penduduk kampung agar berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut terutamanya dalam keadaan cuaca ribut dan laut bergelora.

Sumber: Sinar Harian

Akhmar Ikmal