Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Sijil Vaksin Palsu: Doktor Direman Lagi Berhubung Kes Penipuan

MARANG, 14 Jan — Seorang doktor klinik swasta yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes menjual sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar, hari ini direman lagi di Mahkamah Majistret di sini berhubung kes penipuan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan lelaki berusia 51 tahun itu direman sehingga esok bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Lelaki itu yang memakai kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar jeans biru tiba di Mahkamah Marang di sini pukul 9.40 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud ketika dihubungi berkata permohonan reman itu dibuat selepas doktor itu didakwa menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, tetapi gagal menyediakan sijil tersebut kepada pelanggannya.

“Laporan ke atas doktor itu melibatkan pengadu yang menggunakan perkhidmatannya dengan membayar sebanyak RM450 dan dijanjikan dalam masa 14 hari status di MySejahtera mereka (tertera) sebagai penerima vaksin, namun status tersebut tidak bertukar,” katanya.

Pada Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 tanpa suntikan sebenar, namun dibebaskan dengan jaminan polis semalam. Bagaimanapun polis menahan semula doktor tersebut pada 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa sebelum ini berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan.

Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar.

— BERNAMA

Akhmar Ikmal