Siakap Keli
Gambar via Bernama

240 Atlet Johor Tarik Diri Daripada Sertai SUKMA 2020 Kuala Lumpur

JOHOR BAHRU, 15 Jan (Bernama) — Kira-kira 240 atlet Johor terpaksa menarik diri daripada mewakili kontinjen negeri ini pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 Kuala Lumpur yang dijangka berlangsung tahun ini, disebabkan faktor usia, melanjutkan pengajian atau atas alasan kerja.

Pegawai Belia dan Sukan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) Mohammad Syafiq Hassan bagaimanapun menjelaskan tempat atlet berkenaan telah diganti oleh atlet lain menerusi program-program pembangunan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

“Saya rasa bukan Johor sahaja, banyak negeri lagi.. di Johor hampir 40 peratus daripada 600 atlet sudah menarik diri daripada program sukan. Faktor pelajaran, umur, dan mereka memikirkan soal masa depan seperti bekerja (antara faktor tarik diri).

“Kita tidak boleh halang dari segi masa depan mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Majlis Kriket Johor (JCC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini.

Mohammad Syafiq berkata Sukma 2020 Kuala Lumpur diharap dapat menjadi platform untuk menguji pasukan dan atlet Johor dalam persediaan untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan pada 2024.

“Kita harap dengan adanya atlet-atlet di peringkat pembangunan yang kita sediakan untuk Sukma 2020, mereka dapat menggalas tanggungjawab (pada Sukma 2024),” katanya.

Beliau pada masa sama memaklumkan kontinjen Johor sentiasa bersedia untuk menghadapi Sukma 2020 Kuala Lumpur memandangkan sesi latihan atlet dilakukan secara berterusan.

Oktober lepas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Jawatankuasa Tertinggi Sukma bersetuju menangguhkan temasya sukan Sukma Johor hingga ke tahun 2024, di samping bersetuju supaya Majlis Sukan Negara menganjurkan Sukma dan Para Sukma 2020 di Kuala Lumpur tahun ini.

Sumber: Bernama

Eyla Azri