Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan/Google

Nampak Ringan Macam Kapas, Rupanya Berat Awan Setara Dengan 100 Ekor Gajah

Awan boleh didefinisikan sebagai jisim yang boleh dilihat dari titisan air atau kristal beku yang terampai di atmosfera pada bahagian atas permukaan Bumi atau planet lain.

Oleh kerana awan adalah titisan air, maka dapat dipastikan bahawa awan mempunyai berat yang boleh disukat dengan alat pengukur ketumpatan. Ketumpatan di dalam awan dianggarkan sekitar 1/2 gram air setiap meter padu.

Perkara ini didedahkan oleh seorang penyelidik dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat, Peggy LeMone, memetik portal Mental Floss.

Berdasarkan penjelasan Peggy LeMone, rata-rata awan kumulus memiliki satu kilometer lebar. Secara kasarnya, bentuk awan kumulus ialah kubus, jadi setiap sisi awan ini berukuran satu kilometer.

Awan mempunyai isipadu satu bilion meter padu dan beratnya didapati boleh mencapai sehingga 500 ribu kilogram. Ukuran ini adalah lebih kurang sama dengan berat 100 ekor gajah.

Tapi macam mana pula awan seberat ini boleh kekal terapung di langit tanpa jatuh?

Dipetik daripada LiveScience dan Mental Floss, kepulan awan ini mampu kekal terapung di langit walaupun dengan jisim yang berat kerana ia terdiri daripada titisan air yang sangat kecil. Jisim awan disebarkan kepada partikel-partikel air yang lebih kecil dan membuatkan ia kurang dipengaruhi daya graviti bumi.

Proses pemeluwapan yang mengubah air dari bentuk gas kepada cecair juga menjadi sebab awan kekal terapung di langit.

Di samping itu, ketumpatan awan yang lebih rendah berbanding udara juga merupakan faktor penentu mengapa awan terapung dengan lebih mudah di langit.

Sumber: Indo Zone, Mental Floss

" "