Siakap Keli

KPDNHEP Lancar Prototaip Pertama Bawah Program Francais Mikro Dan Francais Mampu Milik

Prototaip Mampu Milik Oldtown White Coffee Express di bawah inisiatif Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik (F3M) telah dilancarkan pada hari ini oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad dalam majlis ringkas di One City, USJ.

Oldtown White Coffee Express ini merupakan antara jenama francais yang terpilih untuk menerima Geran Penuh bernilai RM50,000 di bawah Program F3M yang dilaksanakan oleh KPDNHEP dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) baru-baru ini.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam berkata, pelancaran prototaip ini sekali gus menjadi mercu tanda kejayaan program ini kerana ianya merupakan prototaip pertama yang dilancarkan di bawah program ini.

Saya berasa bangga pada hari ini kerana Oldtown White Coffee telah berjaya membangunkan prototaip francais mampu milik Oldtown Express, dengan kos permulaan perniagaan sebanyak RM100,000 sahaja, yang merangkumi kos penyediaan outlet, peralatan dan perabot, yuran francais dan yuran latihan. Saya juga berasa gembira apabila dimaklumkan pakej yang akan didaftarkan ini mampu memberi keuntungan kepada francaisi sebanyak 16% untuk setiap outlet” katanya dalam sidang media, di sini.

Menurut beliau, terdapat 3 francaisor lagi sedang dalam peringkat terakhir penyediaan perniagaan konsep F3M manakala beberapa francaisor lain sedang dalam peringkat perancangan awalan. Beliau berharap lebih 2 ramai francaisor dapat menyediakan pakej francais F3M yang mampu memberi peluang untuk berniaga kepada lebih ramai golongan masyarakat dibawah B-40 dan M-40.

“Saya percaya program ini dapat memberi impak yang positif terhadap pembangunan ekonomi negara sekaligus mengangkat taraf ekonomi negara ke peringkat lebih tinggi seterusnya”, tambahnya.

Turut hadir adalah Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan serta Pengarah Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung (BPFJL), Encik Mohd Farid bin Yahya.

Turut berlangsung, program Sesi Libaturus bersama Ahli MFA dengan objektif untuk berkongsi maklumat dan perkembangan terkini berkaitan industri, kemudahan bantuan kewangan termasuk penawaran geran serta aktiviti-aktiviti anjuran MFA.

Pengisian utama program ini adalah perkongsian berkenaan kemudahan geran yang ditawarkan oleh Kerajaan untuk perniagaan francais seperti Market Development Grant (MDG), Service Export Fund (SEF), Geran di bawah Program Pengukuhan Francais bagi meningkatkan Eksport (EFDP) serta Geran Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik, senarai aktiviti MFA untuk tahun 2022 serta kaedah Pindaan Matan.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perkara diatas, boleh hubungi MFA di talian 03-6241 4141 atau layari www.mfa.org.my.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa