Siakap Keli

Ucapan Menteri MAFI Dalam Majlis Amanat Tahun 2022

Pada 21 Januari lepas, berlansungnya satu Majlis Amanat Tahun 2022 bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Dalam majlis tersebut, pelbagai perkara dikongsikan oleh YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian Dan Industri Makanan.

Antaranya ialah pencapaian MAFI pada tahun 2021, perancangan dasar untuk tahun seterusnya, pelan pembangunan dan banyak lagi. Untuk mengikuti apa yang diperkatakan dalam majlis tersebut, mari ikuti teks ucapan YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

1. Pertama sekali di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada seluruh warga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Terima kasih juga di atas penganjuran Majlis Amanat Tahun 2022
ini. Walaupun norma baharu membataskan kita untuk sama-sama berkumpul seperti ini, tetapi saya dimaklumkan bahawa ada warga MAFI yang datang dari jauh seperti Kelantan dan Terengganu.

2. Terima kasih saya ucapkan atas komitmen yang diberikan dan marilah sama-sama kita berikan tepukan gemuruh kepada semua yang hadir. Inilah semangat dan kesatuan yang kita mahukan untuk kita sama-sama terus memacu pertumbuhan sektor agromakanan.

3. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga kerja MAFI di atas sumbangan tenaga yang dicurahkan sepanjang tahun 2021, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan langsung kepada kehidupan kita semua.

4. Sememangnya kita amat menghargai pengorbanan para frontliners atau barisan hadapan yang bertugas saban hari tanpa mengenal penat dan lelah termasuk frontliners sektor agromakanan kita.

5. Apatah lagi, tanpa pengorbanan dan usaha keras mereka, kita tidak mungkin dapat memastikan kelangsungan dan jaminan bekalan makanan sepanjang masa.

6. Melangkah ke hadapan, dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dan peningkatan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, ekonomi Malaysia juga sedang beransur pulih dengan pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial secara lebih meluas.

7. Langkah-langkah yang telah dan sedang diambil Kerajaan dengan mendokong prinsip Whole of Government dan Whole of Society dalam memerangi pandemik COVID-19 akan memastikan ekonomi negara dapat membangun dan terus bersaing di peringkat global dan domestik.

Warga MAFI yang saya hormati sekalian,

8. Kita sedia maklum bahawa Kementerian kita ini memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.

9. Ini dibuktikan dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor agromakanan bagi suku ketiga tahun 2021 telah mencatat angka 5.0%, manakala sumbangan sektor agromakanan sahaja kepada KDNK negara pada tempoh yang sama adalah sebanyak 4.4%.

10. Namun, kita tidak boleh berasa selesa dengan pertumbuhan ini. Risiko dan cabaran di peringkat global dan domestik seperti pertambahan populasi, produktiviti dan inovasi pertanian, kos input pertanian, sumber tanah dan
air yang terhad, perubahan iklim dan ancaman bencana alam,
kebergantungan kepada tenaga buruh asing, kekurangan penglibatan belia dan tahap adaptasi teknologi dan mekanisasi yang rendah perlu terus ditangani untuk memastikan kemampanan sektor ini.

11. Dalam konteks ini, Kerajaan amat komited dalam memperkukuhkan sektor agromakanan negara dengan menambah lagi usaha-usaha untuk meningkatkan pengeluaran domestik, perluasan adaptasi teknologi moden
dan mengurangkan kebergantungan kepada keperluan import sekaligus untuk meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan.

12. Sekuriti Makanan merupakan antara aspek yang diberi perhatian khusus oleh Kerajaan dan hal ini jelas diperlihatkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara (FSCC). Semenjak penubuhan FSCC ini,
pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk merapatkan jurang yang dikenal pasti dalam sistem makanan negara, khususnya bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli secara berterusan oleh rakyat.

13. Penglibatan wakil Kerajaan Negeri dalam Jawatankuasa Eksekutif Sekuriti Makanan Negara serta cadangan penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara Peringkat Negeri juga menunjukkan kerjasama yang erat
antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu-isu berkaitan sekuriti makanan negara.

14. Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang bertemakan Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan telah digubal oleh Kerajaan dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan
ekonomi dan memastikan kemakmuran negara dapat diagih secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

15. Sepanjang tempoh pelaksanaan RMKe-12 ini, agenda pemodenan merupakan fokus utama dalam sektor agromakanan negara. Dalam hal ini, MAFI wajar memberi tumpuan yang berterusan kepada pemodenan sektor agromakanan bagi meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara.

16. Untuk rekod, Indeks Sekuriti Makanan Global atau Global Food Security Index (GFSI) yang dikeluarkan oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) pada tahun 2021 telah menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-39 dalam kalangan 113 negara seluruh dunia. Kedudukan Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik adalah lapan terbaik manakala kedua terbaik dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara iaitu selepas Singapura.

17. Namun begitu, pengukuhan sekuriti makanan negara merupakan proses yang berterusan dan kita mestilah terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan kita dalam GFSI ini seiring dengan hasrat Kerajaan untuk terus memperkasa sektor agromakanan dalam tempoh RMKe-12.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

18. Antara pencapaian utama MAFI pada tahun 2021 adalah fasa permulaan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0). Tahniah kepada seluruh warga kerja MAFI yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam merangka DAN 2.0.

19. DAN 2.0 merupakan satu dasar yang menyeluruh bagi memastikan sekuriti makanan negara berdaya saing dan mampan dengan berlandaskan dasar-dasar utama kerajaan iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

20. DAN 2.0 telah meletakkan pemodenan dan pertanian pintar sebagai key game changer dan teras dasar utama yang akan diberikan tumpuan bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

21. Sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK dijangka akan meningkat kepada 5% menjelang tahun 2030 iaitu akhir tahun pelaksanaan DAN 2.0 berbanding 2.3% pada tahun 2020.

22. Selain itu, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat adalah salah satu strategi yang akan turut mendokong pelaksanaan DAN 2.0.

23. Walau bagaimanapun, sebarang perancangan dasar tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang efektif dan berkesan supaya memberi impak yang lebih besar dalam kesejahteraan Keluarga Malaysia. DAN 2.0 bukan hanya satu dokumen dasar semata-mata, malah ia mesti dijadikan panduan dan
rujukan dalam segala usaha dan inisiatif yang diambil oleh MAFI.

24. Dalam hal ini, saya yakin MAFI akan melaksanakan kesemua strategi dan inisiatif yang telah digariskan di bawah DAN 2.0 dan Pelan Tindakan DSMN mengikut tempoh pelaksanaan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

25. Subsektor padi dan beras merupakan antara subsektor agromakanan yang penting dalam usaha menjamin sekuriti makanan negara.

26. Bagi terus memperkasakan subsektor ini, MAFI telah melaksanakan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang merupakan kerjasama pintar awam dan swasta untuk membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi secara berperingkat di Semenanjung Malaysia.

27. Program SMART SBB terbukti mampu meningkatkan pendapatan dan produktiviti pesawah serta pengusaha dengan pengurusan sumber secara optimum melalui program penyatuan tanah sawah.

28. Pelaksanaan SMART SBB akan menjadikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif dan berdaya saing, sekaligus dapat membantu negara untuk mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 75% dalam tempoh RMKe-12.

Hadirin yang dihormati sekalian,

29. Seterusnya, bagi membangunkan industri ruminan Negara, Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (Beef Plan 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 (Dairy Plan 2021-2025) telahpun dilancarkan.

30. Melalui pelan-pelan ini, sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan akan dapat ditingkatkan untuk mencapai sasaran 50% SSL bagi pengeluaran daging dan 100% SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025.

31. Selain itu, Lembaga Ruminan Negara (LRN) juga bakal ditubuhkan dan akan beroperasi secara berfasa bermula pada tahun ini untuk terus merancakkan pertumbuhan industri ruminan, khususnya dalam memantapkan pengeluaran daging dan tenusu negara.

32. Di samping itu, Pelan Pembangunan Perikanan Negara 2021-2030 telah diterbitkan untuk mengimbangi aspek seperti penerokaan potensi sumber perikanan secara cekap dan mampan serta pematuhan terhadap resolusi di peringkat antarabangsa. Ini juga akan memastikan tahap kesejahteraan pengeluar makanan subsektor perikanan dan akuakultur dapat terus dipertingkatkan.

33. MAFI juga telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu, Dan Laut Sulawesi 2021 – 2030 tahun lalu bagi membangunkan perikanan laut dalam melalui galakan inovasi, pelaburan sektor swasta dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi selaras dengan DAN 2.0.

34. Pelbagai program MAFI telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2021 yang tidak sempat saya sebutkan di sini bukanlah bermaksud ianya tidak penting. Semua warga kerja MAFI telah memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keberkesanan setiap program dan aktiviti yang dirancang serta bagi memastikan keluarga Malaysia dapat menerima manfaat yang diberikan oleh Kerajaan.

Warga MAFI yang saya kasihi sekalian,

35. Bagi tahun 2022 ini, MAFI telah menerima peruntukan berjumlah 4.82 bilion ringgit berbanding 4.79 bilion ringgit pada tahun 2021. Peningkatan peruntukan ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk memulihkan setiap peringkat rantaian bekalan makanan dan pada masa yang sama terus memberi perhatian khusus kepada kebajikan golongan petani, penternak dan nelayan.

36. Pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak 1.7 bilion ringgit.

37. Selain itu, MAFI juga telah diberikan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit bagi melaksanakan Inisiatif Meningkatkan Jaminan Bekalan Makanan.

38. Bagi membantu golongan peladang pula, sebanyak 5 juta ringgit telah diperuntukkan untuk pelaksanaan Smart Card Keluarga Peladang yang akan menyasarkan perlindungan kepada semua ahli PPK di seluruh Malaysia.

39. Secara umumnya, kesemua inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Belanjawan 2022 akan dapat membantu pengeluar makanan dan pengusaha agromakanan dalam memastikan kelangsungan perusahaan masing-masing.

40. Pada masa yang sama, dana berjumlah 210 juta ringgit turut disediakan kepada golongan peladang dan penternak untuk menggunakan sistem pertanian pintar di ladang dan juga golongan nelayan untuk menaik taraf serta memodenkan vesel perikanan mereka.

41. Untuk rekod, bagi tahun 2021, MAFI telah diluluskan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit bagi Projek Pertanian Organik dan 30 juta ringgit bagi Projek Kebuniti di bawah Inisiatif Dana Jaminan Makanan (DJM). Setakat ini, seramai 1,200 komuniti mendapat manfaat daripada Projek Organik.

Manakala, Projek Kebuniti telah memberi manfaat kepada lebih 37,000 peserta yang melibatkan 28,000 lokasi di seluruh Malaysia.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

42. Dalam merealisasikan pelaksanaan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari, pelbagai usaha telah dijalankan oleh warga MAFI bagi mencapai sasaran yang ditetapkan. Tiga (3) AKM utama MAFI iaitu Program Meningkatkan Taraf Hidup Kumpulan Sasar dalam pemberian bantuan/insentif dan pembiayaan, Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Program Smart Card Keluarga Peladang (PELADANG-i) telah mencapai lebih 100% sasaran yang ditetapkan di mana 80 ribu golongan sasar telah menerima
manfaat.

43. Semangat 100 hari mesti terus dijadikan asas dalam menyantuni kehendak golongan sasar. Di MAFI, setiap hari adalah 100 hari. MAFI mesti meletakkan kemakmuran dan kepentingan golongan sasar sebagai keutamaan bagi memperkukuhkan sektor agromakanan negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

44. Baru-baru ini negara kita telah dilanda bencana banjir yang bukan sahaja memusnahkan harta benda malahan juga menyebabkan kehilangan nyawa. Saya menzahirkan rasa dukacita kepada seluruh keluarga Malaysia yang terkesan dengan bencana ini.

45. Kerajaan telah mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 1.4 bilion ringgit untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

46. MAFI juga telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Dana Bangkit Semula Keluarga Agro berjumlah 100 juta ringgit termasuk inisiatif MAFI Prihatin untuk membantu meringankan bebanan golongan sasar dan
pengusaha-pengusaha sektor agromakanan yang terjejas akibat bencana banjir ini.

47. Secara keseluruhannya, berdasarkan kepada laporan yang diterima setakat ini, jumlah keseluruhan anggaran kerugian dalam sektor agromakanan telah melebihi 90 juta ringgit melibatkan lebih 7,500 pengusaha merentasi semua subsektor termasuk tanamam, akuakuktur, ternakan dan sebagainya.

48. Selain daripada itu, MAFI juga turut melancarkan satu operasi pembersihan di bawah Skuad MAFI Prihatin bagi membantu meringankan beban warga kerja MAFI yang terjejas akibat bencana banjir ini. Seramai 1,990 warga kerja MAFI secara sukarela telah membantu dalam operasi pembersihan ini.

Saya amat hargai bantuan yang diberikan oleh anda semua dan terima kasih saya ucapkan.

49. Saya yakin, inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang diambil oleh Kerajaan dapat terus membantu para petani, peladang, nelayan, penternak serta pengusaha agromakanan yang terjejas dalam meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.

50. Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) tahun 2021 yang sepatutnya diadakan pada 21 hingga 23 Disember 2021 yang lalu terpaksa ditangguhkan mengambilkira kejadian bencana banjir yang melanda negara. Dalam hal ini, tarikh baharu HPPNK akan disesuaikan semula dengan mengambil kira tarikh pelaksanaan MAHA 2022. Kedua-dua program yang mencerminkan identiti MAFI ini diharap dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Warga MAFI yang saya kasihi sekalian,

51. Hakikatnya, banyak juga yang telah kita capai bersama sepanjang tempoh dua tahun yang lalu. Saya yakin banyak lagi yang akan kita capai di masa akan datang. Ini termasuklah Skim Takaful Agromakanan, Pusat Sehenti Kuarantin Negara (One Stop Quarantine Centre), Pelabuhan Tuna, Peningkatan SSL untuk subsektor kritikal, aplikasi teknologi, penumpuan terhadap penanaman jagung untuk mengurangkan import makanan ternakan, kelapa, kaedah baru pegimportan untuk daging sejuk beku, e-dagang untuk industri hiliran, integrasi data, beralih ke arah subsidi output, keterbukaan terhadap varieti padi dari luar, dan lain-lain, yang boleh kita capai dalam tahun-tahun akan datang.

52. Yang penting kita terus membudayakan berfikir di luar kelaziman supaya kita kekal kehadapan dan kompetitif. Terus mencetuskan idea dan pendekatan baru, dan sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap program dan inisiatif yang sedia ada malah mengkaji semula, revisit, dasar yang kita telah selesa demi mencapai keberhasilan yang luar biasa.

53. Saya menyeru agar warga MAFI tidak terkongkong dalam silo masing-masing atau mengamal ‘turf management’ yang kadang boleh mengundang karenah birokrasi yang menyukarkan rakyat dan pihak industri. Ada baiknya semua Jabatan dan Agensi di bawah MAFI bekerja secara berpasukan bagi memastikan program dan inisatif yang dilaksanakan memenuhi kehendak kumpulan sasar dan menyumbang kepada budaya kerja high productivity dan high value selaras dengan kehendak dan keperluan semasa industri.

54. Tidak kurang penting kita mesti terus mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi dalam industri agromakanan, bukan sekadar menjadi petani tetapi pengusaha yang inovatif, moden dan berkepakaran tinggi. Peremajaan sektor agromakanan ini penting agar penggunaan teknologi IR4.0 dalam industri agromakanan dapat direalisasikan.

55. Saya berharap dan semoga MAFI akan terus menjadi kementerian yang mesra perniagaan dan berupaya menarik lebih banyak pelaburan swasta dalam sektor agromakanan negara. Semoga MAFI juga akan terus memartabatkan sekuriti makanan negara serta membela warga tani keseluruhannya.

56. Sekian, semoga hasrat dan aspirasi ini akan menjadi hasrat keluarga MAFI keseluruhannya.

Terima kasih.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa