Seorang lelaki dilaporkan terbunuh sejurus dirinya dihempap dengan longgokan lobak merah yang menimbusnya hidup-hidup ketika dia sedang bekerja di salah sebuah gudang pertanian di Sepanyol, lapor Daily Mail.
Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai terperangkap di bawah timbunan lobak merah yang sedang diproses untuk penghantaran pada awal pagi hari Khamis lalu.
Kejadian dikatakan berlaku di sebuah gudang berdekatan kawasan perbandaran Vallelado, bandar Segavia di wilayah Castilla dan Leon, Sepanyol.
Perkhidmatan Kecemasan 112 Castilla dan Leon telah menerima panggilan pada jam 3:05 pagi dan dimaklumkan bahawa seorang lelaki terperangkap.
Lelaki itu juga dilaporkan tidak sedarkan diri selepas sejumlah besar lobak merah menimpanya di kawasan perindustrian berhampiran jalan CL-602, lapor MSN menerusi Daily Mail.
Sejurus mereka menerima laporan, sebuah ambulans kemudiannya tiba bersama-sama pasukan bomba dan petugas Pengawal Awam (COS) Segovia.
Mangsa yang tidak diberikan nama itu dikatakan bekerja dengan menjalankan perniagaan milik keluarganya. Dia dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, lapor sebuah saluran televisyen tempatan Sepanyol.
Tambah laporan, pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
Sumber: Daily Mail