KUALA TERENGGANU, 23 Jan (Bernama) – Kes kematian penyu di Terengganu semakin membimbangkan berikutan penemuan terbaharu bangkai penyu spesies agar betina dewasa di Pantai Kelulut, di Marang pagi tadi, iaitu kes kematian ke-11 direkodkan di Terengganu pada bulan ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Ruzaidi Mamat berkata bangkai penyu itu ditemukan terdampar dalam keadaan sudah mula mereput, dan ia mungkin telah mati tiga atau empat hari lepas, dipercayai akibat tertelan plastik.
“Bangkai penyu berukuran panjang dan lebar kurang semeter itu telah ditanam di kawasan berhampiran ia ditemukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, seekor penyu spesies agar jantan dewasa ditemukan mati dalam keadaan terapung di perairan Pulau Kapas, di Marang pada pukul 11 pagi dipercayai akibat lemas setelah terperangkap dalam pukat nelayan.
Sementara itu, seorang penjawat awam Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah, 37, yang menemukan bangkai itu ketika sedang bersiar-siar di Pantai Kelulut berkata, beliau sedih dengan kes kematian penyu yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Penyu adalah ikon negeri Terengganu, ramai pelancong datang ke negeri ini kerana mahu melihat sendiri haiwan prasejarah itu. Sekiranya kematian terus berlaku, apa lagi yang tinggal untuk dilihat generasi akan datang,” katanya.
— BERNAMA