Siakap Keli
Gambar: Nutrisens & JPNN.com

(Video) Bisnes Rugi, Ibu Hamil Ini Nak Jual Buah Pinggang Untuk Bayar Hutang RM292,154

Seorang ibu yang sedang mengandung tujuh bulan dilaporkan sanggup menjual salah satu buah pinggangnya kerana mahu membayar hutang bernilai hampir-hampir 1 billion rupiah (RM292,154), memetik laporan Kompas Tv.

Menurut laporan, wanita berusia 24 tahun itu mahu menjual buah pinggangnya gara-gara dia tidak sanggup lagi dirinya diganggu oleh pengutip hutang.

“Ada sebab kenapa saya berhutang, saya baru mula berniaga minyak secara online,” jelas wanita itu.

Hutang wanita itu dipercayai semakin bertambah selepas perniagaan minyak masaknya berdepan dengan kerugian besar. Kadar faedah yang dikenakan juga sangat tinggi.

Wanita itu difahamkan berurusan dengan pengutip hutang untuk memulakan perniagaan minyak masaknya. Disebabkan hutang yang semakin menimbun, dia kerap ditunggu oleh pengutip hutang di rumahnya sehingga waktu pagi.

Tambah laporan, walaupun suaminya bekerja, tetapi duit gaji suaminya itu sudah habis digunakan untuk menampung keperluan seperti membayar rumah sewa, membeli susu anak, dan membeli lampin anak.

“Suami saya ada, pekerja biasa, tapi gaji dia kecil,” tegasnya sekali lagi.

Walaupun dia mengetahui akan risiko sekiranya menjual buah pinggang, dia tetap bersiap sedia dan sanggup untuk hidup dengan hanya memiliki satu sahaja buah pinggang.

Keluarga dan suaminya turut bersetuju untuk dia menjual buah pinggangnya. Malah, suami dia turut mahu menjual buah pinggangnya jika ada yang mahu membeli.

Sumber: KompasTV & YT Tribunnews

 

Nadhirah