Siakap Keli

(Video) “Ramai Betul Lah Yang Datang,” Lelaki Ini Tak Sangka Rumah Tiba-tiba Kena ‘Serbu’, Penuh Dengan Barang

Siapa je yang boleh menyangka kalau tiba-tiba ada sekumpulan yang ramai datang berkunjung kediaman sendiri? Ya, begitulah yang dirasai oleh seorang individu apabila terdapat satu kumpulan yang datang ke rumahnya dengan bilangan yang ramai serta membawa pelbagai barangan.

Menurut M. Riduan Yeo Abdullah yang berumur 54 tahun, dia tidak sangka bahawa kumpulan itu akan datang sendiri ke kediamannya walaupun dia sudah merancang untuk ke pejabat mereka dalam masa lagi seminggu. Justeru, Riduan merasa amat-amat bersyukur dengan kehadiran mereka yang membawa pelbagai barangan untuk kegunaannya.

Mungkin ada yang hairan, sebenarnya kumpulan yang dimaksudkan adalah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang datang untuk menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada PERKESO. Saya tidak sangka PERKESO akan datang serahkan sumbangan ini, sepatutnya lagi seminggu saya kena pergi PERKESO ambil keperluan susu dengan pampers, tapi tak sangka PERKESO datang hari ni dengan orang yang ramai, ramai betul lah yang datang ni.”

Program Tanggungjawab Sosial Prihatin PERKESO

Seperti yang semua sudah tahu, kejadian banjir yang melanda negara pada akhir tahun 2021 telah banyak menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia. Pun begitu, menerusi ujian yang diturunkan ini, terdapat pelbagai hikmah yang terselindung di sebaliknya. Antaranya ialah ramai pihak yang tampil memberikan sumbangan tidak kiralah dari segi tenaga, barangan ataupun wang ringgit.

Kumpulan sukarelawan PERKESO umpamanya telah turun padang untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir. Kumpulan yang disertai seramai 30 orang itu adalah sukarelawan Program Tanggungjawab Sosial Prihatin PERKESO.

Antara kawasan yang terlibat dalam program ini meliputi negeri Selangor di daerah Hulu Langat, Shah Alam dan Klang serta negeri Pahang di daerah Karak.

350 Kotak Prihatin disumbangkan kepada mangsa banjir

Sebanyak 350 Kotak Prihatin atau kit bantuan banjir telah disumbangkan kepada mangsa banjir sejak 23 Disember 2021. Menurut Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO, John Riba Marin, PERKESO sesungguhnya amat prihatin dengan mangsa-mangsa banjir dan justeru mengambil keputusan untuk sama turun padang bagi menghulurkan bantuan mereka agar dapat sedikit sebanyak menyuntik semangat mereka untuk bangkit semula pasca bencana.

Beliau yang mengetuai misi bantuan banjir di Karak, Pahang turut menjelaskan bahawa program ini turut mendukung matlamat sebagai satu khidmat tanggungjawab sosial agar dapat menerapkan sifat empati serta semangat perikemanusiaan dalam kalangan anggota PERKESO.

Antara kawasan yang telah disantuni anggota PERKESO adalah di Taman Wijaya, Karak yang mana penduduknya pertama kali berdepan bencana banjir sejak tahun 1970. Pihak PERKESO juga turut menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada mangsa banjir yang juga Orang Berinsurans (OB) seperti kuali, periuk, dapur gas mudah alih dan pelbagai peralatan mencuci.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa