Siakap Keli
Gambar: Bernama

Cuaca Hujan: Warga Shah Alam Khususnya Taman Sri Muda Perlu Berjaga-jaga – MBSA

Berikutan amaran hujan lebat dan ribut petir yang dijangka melanda beberapa buah negeri sehingga 8 malam ini, orang ramai yang menetap di negeri dan kawasan yang dijangka terlibat dinasihatkan untuk berhati-hati.

Begitu juga bagi mereka yang menetap di negeri Selangor. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui akaun Twitter rasmi berkongsikan makluman penting kepada warga Shah Alam, khususnya yang menetap di Taman Sri Muda.

Menurut kenyataan MBSA tersebut, warga Taman Sri Muda diharapkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan yang turun di beberapa kawasan pada hari ini.

“Mohon kepada warga Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan yang turun di beberapa kawasan.

“Mohon kerjasama orang ramai untuk sentiasa peka dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” maklum kenyataan tersebut hari ini.

Terdahulu, Taman Sri Muda merupakan antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda sekitar Shah Alam pada hujung Disember lepas.

Sumber: MBSA

Nadhirah